Sumbangan ringankan beban mangsa kebakaran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Nasib mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana kebakaran di Kampung Pengiran Bendahara Lama terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dan individu di negara ini yang berganding bahu menghulurkan derma dan bantuan bagi membantu meringankan beban mereka.

Sehubungan dengan itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ong Tiong Oh, Jackson Ting serta ahli-ahli Persatuan Fu Zhou Shiyyi dan peniaga-peniaga tampil menghulurkan derma berjumlah $21,400 pada Majlis Penerimaan Derma Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohammed Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan yang juga merupakan selaku pengerusi bersama tabung amal berkenaan.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dan kakitangan dari KHEDN dan KKBS, persatuan-persatuan dan jemputan-jemputan khas.

Awang Salminan menerima sumbangan daripada Jackson Ting pada majlis tersebut.