Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan RM100,000 buat 20 artis veteran

    Prihatin dan peka dengan kehidupan sesetengah artis veteran yang kurang bernasib baik, pasangan selebriti popular, Zamarul Hisham dan Diana Rafar meneruskan program ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0’, bagi meringankan kesulitan yang mereka hadapi.

    Apa yang lebih istimewa, program siri kedua itu mendapat kerjasama daripada jenama makanan tambahan kesihatan Afyaa Sdn Bhd dengan menyantuni 20 artis, seterusnya memberikan tajaan wang tunai RM5,000 setiap seorang serta bekalan produk tersebut selama tiga hingga enam bulan.

    Pengasas program Zamarul berkata, program siri kedua itu bukan sahaja membantu dari segi wang ringgit, malah turut memberi fokus kepada kesihatan artis yang terpilih.

    “Tujuan utama program ini sebenarnya hendak menyantuni artis lama (veteran) dan selepas kejayaan program ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0’, kita dapat tahu Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membuat tindakan susulan mengenai keadaan mereka. Ada juga artis yang dapat bantuan seperti bayaran rumah sewa dan sebagainya daripada pihak LZS.

    “Jadi, untuk kali ini saya cakap kepada Diana tidak semestinya kita kena buat dan bagi dalam bentuk wang sahaja, tapi mungkin kita boleh bantu dari segi kesihatan.

    “Selepas bincang dengan pihak Afyaa, mereka bersetuju menyumbang produk penjagaan pemakanan selama tiga hingga enam bulan buat artis yang ada masalah kesihatan serta wang tunai,” katanya kepada pemberita.

    Aktor popular itu juga bercadang untuk memperluaskan program tersebut kepada golongan pengarah, komposer dan penyanyi pada masa hadapan. – Bernama

    Zamarul Hisham dan isterinya bercadang untuk memperluaskan program tersebut pada masa hadapan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda