Sumbangan sempena maulidur rasul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1441H/2019M yang akan diadakan tidak lama lagi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini telah menyerahkan sumbangan sebanyak $63,200 kepada 51 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Sehubungan itu, satu majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di Kompleks Yayasan di ibu negara dan hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

Daripada jumlah tersebut, sumbangan akan diagihkan kepada 19 buah masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara, 19 di Daerah Tutong, empat di Daerah Belait dan sembilan di Daerah Temburong, di mana sumbangan-sumbangan tersebut akan diserahkan kepada imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Sumbangan tersebut antara lain bertujuan bagi penganjuran aktiviti-aktiviti dan majlis-majlis keagamaan bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul SAW nanti, selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan iaitu untuk mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.

Penubuhan Yayasan ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat Baginda serta sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat, di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil masjid, surau dan balai ibadat. – Gambar oleh Muiz Matdani