BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – COVID-19 Relief Fund yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MoFE) telah menerima sejumlah $14,128,776.79 sumbangan kewangan daripada orang ramai setakat jam 2:30 petang hari ini.
Jumlah terkini itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
“Dalam hal ini, MoFE sukacita ingin mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama membantu meningkatkan lagi jumlah sumbangan tersebut bagi membiayai keperluan-keperluan yang berkaitan dengan COVID-19 ini,” katanya.
Manakala pada sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato menjelaskan sebelum ini kementerian menyasarkan sumbangan sebanyak $12 juta dan ia kini melebihi jumlah tersebut. Sehubungan itu, beliau menjelaskan jumlah itu kemungkinan akan digunakan untuk membiayai sepenuhnya Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) dan kini ia menjadi kenyataan. Namun perkara itu akan dibincangkan lagi di peringkat jawatankuasa dengan Kementerian Kesihatan, tambahnya.
Menurutnya lagi, perkara tersebut merupakan cadangan yang akan beliau kemukakan untuk jawatankuasa berkenaan mempertimbangkan bagi membiayai seluruh NIC dengan dana bantuan tersebut. “Tetapi sudah tentu sekarang kita mempunyai (dana) yang lebih. Oleh itu, kita masih boleh terus menggunakan dana tersebut untuk membiayai barangan lain, sekali lagi ini semua akan diputuskan oleh jawatankuasa,” jelas Yang Berhormat Dato.
Oleh itu, beliau terus menggalakkan orang ramai untuk terus menyumbang kerana seperti yang diketahui, jumlah wang yang dihabiskan untuk memerangi COVID-19 ini jauh lebih banyak.
“Oleh itu, lebih banyak yang dapat kita hasilkan akan dapat membantu Kementerian Kesihatan dalam membiayai mereka memerangi COVID-19 ini,” katanya lagi.
