Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan tangani wabak COVID-19 terus diterima

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Kementerian Kesihatan, hari ini, telah menerima sumbangan berjumlah $95,100, tajaan dan pelindung muka daripada pelbagai pihak dalam sama-sama membantu menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

    Hadir bagi menerima sumbangan bagi mewakili Kementerian Kesihatan pada majlis berasingan di Kementerian Kesihatan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Pemangku Pengarah Dasar dan Perancangan, Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop; dan Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Projek, Awang Mohamad Sharin bin Haji Sharbini.

    Antara yang menghulurkan sumbangan hari ini adalah Alumni Asrama Kerajaan Brunei di Republik Singapura (AKBS) yang menyumbangkan cek berjumlah $5,100 yang disampaikan oleh mantan Naib Canselor UBD, Dato Paduka Dr Haji Ismail bagi pihak Pengerusi Kutipan Alumni AKBS, Haji Mohd Zin bin Haji Salleh.

    Sementara itu, Serikandi Group of Companies menyumbangkan $50,000 yang diserahkan oleh Pengerusi selaku Pengarah Urusan, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad; Ya Nur Trading Company menyumbangkan $30,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Revi Bhaskaran dan Jisco TBR-Marine menyumbangkan $10,000 yang dsampaikan oleh Pengarah, Shaikh Ahmad Khalis bin Shaikh Haji Khalid.

    Pada majlis berasingan, Serikandi dan Ya Nur turut menyumbangkan 100 kotak minuman mineral dan 500 paket biskut kepada Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) di Tutong dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menerima sumbangan daripada Serikandi Group of Companies, Ya Nur Trading Company dan Jisco TBR-Marine.
    Awang Mohamad Sharin ketika menerima sumbangan daripada BruPay.
    Awang Mohamad Sharin ketika menerima sumbangan daripada Sing Geap Enterprise Sdn Bhd.
    Dayang Siti Ajar ketika menerima sumbangan daripada Syarikat-syarikat Stratacom Global Sdn Bhd.

    Manakala itu, Kumpulan Syarikat-syarikat Stratacom Global Sdn Bhd pula menaja penyediaan tempat penginapan bagi jururawat yang bertugas untuk berehat di Hotel The Lanes, Tutong dan hadir bagi menyampaikan tajaan berkenaan ialah Peter Wong.

    BruPay Sdn Bhd pula telah menyumbangkan 16,000 pelindung muka yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Sophian bin Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny.

    Turut menyumbangkan pelindung muka adalah Alumni EKK, Guild of Graduates, Universiti Brunei Darussalam, Kumpulan Keusahawanan, Durrani Events, Nagawitra Works dan Winback.bn yang diserahkan oleh para penderma.

    Sing Geap Enterprise Sdn Bhd pula menyumbang sebanyak 12,000 pelindung muka yang disampaikan oleh Penyelianya, Dayang Siti Nuraini binti Haji Jabidin.

    Sumbangan berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda