Sumbangan tanpa henti kepada petugas barisan hadapan

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 25 NOV – Sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan serta dedikasi golongan barisan hadapan selama ini dalam berdepan cabaran pandemik COVID-19 di negara ini, Ya-Nur Restaurant and Catering tampil menyumbangkan 500 pek hidangan kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit serta kakitangan kesihatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong, hari ini.

Hadir menerima sumbangan bagi pihak NIC ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, Awang Abdul Muiz bin Haji Ibrahim.

Sumbangan berkenaan diserahkan oleh beberapa orang kakitangan Ya-Nur Restaurant and Catering bagi mewakili pengarah urusan mereka, Pengiran Izzul Raihan bin Pengiran Abu Samah.

Sebanyak 250 pek sumbangan hidangan telah diagihkan pada sesi pagi untuk keperluan makan tengah hari dan 250 pek hidangan lagi untuk makan malam yang telah dise-rahkan pada sebelah petang.

Menurut Ya-Nur, sumbangan berkenaan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat pihak syarikat kepada masyarakat di negara ini, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan cabaran krisis kesihatan.

Awang Abdul Muiz menerima sumbangan pek hidangan bagi para petugas barisan hadapan NIC, Tutong dari Ya-Nur Restaurant and Catering.