Oleh Nurdiyanah R, Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Pelbagai pihak terus menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan dan membantu mengurangkan beban kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.
Hari ini, Kementerian Kesihatan telah menerima sumbangan 1,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE), 1,000 pek pelitup muka jenis N95, 1,000 pelindung muka, 1,000 pek pelitup muka dan 1,000 pek disposable shoe cover daripada Syarikat Aewon – Sherwood Protective Apparel (B) Sdn Bhd.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, sumbangan berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin pada majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kesihatan, Berakas.
Di samping itu, 14 hingga 16 Oktober lalu, pihak kementerian juga telah menerima pelbagai sumbangan daripada sembilan penyumbang termasuk Awang Ahsan yang menyumbangkan sebuah kerusi roda; Kumpulan Belia Masjid Prihatin 2.0 menyumbangkan kertas; Hamba Allah menyumbangkan lapan unit bagasi dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) menyumbangkan air botol.
Manakala itu, Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) pula menyumbangkan roti kering, mi segera, air mineral dan minuman, pencuci tangan, tisu tandas, sarung tangan perubatan, pen dan marker pen, kertas, gunting, staplers dan tong sampah; Syarikat Teratai Mekar Sdn Bhd pula menyumbangkan pelitup muka, bantal dan selimut; Yusuf Real Estate menyumbangkan pelitup muka dan Chuen Lai menyumbangkan minuman berperisa oren.
Selain itu, pegawai-pegawai wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyumbangkan wrapping, tisu, beraneka jenis roti kering, pek serbuk minuman, mi segera, makanan ringan, piring, sudu dan garpu plastik, sarung tangan dan tuala.
Secara berasingan, hari ini, wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan, Andrew Lee pula telah menyerahkan sebanyak 6,000 pelitup muka dan 1,000 pelitup muka antiepidemik, peralatan antiepidemik dan barangan makanan asasi telah disumbangkan untuk Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong.
Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Pegawai Pemerolehan di NIC, Awang Raise bin Haji Talip.
Sumbangan berkenaan antara lain sebagai satu sokongan pihak Taiwan membantu pihak kerajaan Brunei melawan wabak berkenaan, serta untuk mengucapkan terima kasih atas usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pahlawan barisan hadapan selama dua tahun terakhir.
Sementara itu, baru-baru ini, alumni Sekolah Arab Pengambilan tahun 1971-1977 turut menghulurkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan yang telah disampaikan kepada Haji Maswadi.
Sumbangan daripada ahli-ahli alumni berkenaan telah diserahkan oleh Pengiran Haji Ali Hashim bin Pengiran Haji Mohd Yussof dan Hajah Rusita binti Haji Yahya.