Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kementerian Kesihatan terus menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta dan orang persendirian dalam menyokong usaha kerajaan menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Pada hari ini, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin telah menerima sumbangan cek bernilai $12,170 daripada Persatuan Foochow.
Di samping itu, beberapa sumbangan juga telah diterima pada 29 dan 30 Ogos daripada Rezeki Bahirah yang menyumbangkan dispenser air, air mineral, selipar berbagai saiz, botol semburan, lip balm, papan klip dan cawan plastik; OKKY Jewellery dan Syarikat Makmor Jaya menyumbangkan sarung bantal dan selimut; Asterix United (B) Sdn Bhd menyumbangkan pelitup muka kanak-kanak; Mohammad Haziq Qusyair menyumbangkan ubat gigi dan pencuci mulut serta Rozalena yang menyumbangkan lampin pakai buang, pelbagai jenis makanan dan minuman, pakaian dan keperluan anak damit.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan bolehlah menghubungi Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.