Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggujawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa Boustead Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 30,000 risalah mengenai penggunaan ART dan menaja satu iklan video mengenai penggunaan ART.
Kenyataan menyatakan bahawa sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Pemasaran, Adehelmie Jaafar dan Eksekutif Jualan, Awang Sofian bin Haji Bahar bagi mewakili Boustead Sdn Bhd kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Terdahulu, Boustead Sdn Bhd telah menyumbangkan sebanyak 32,000 pelitup muka iaitu 8,000 keping setiap satu kepada CHAM, CHABEL6, CIC PKBN dan SPOC RIPASH berserta beg berisi makanan bagi para petugas barisan hadapan.
Kementerian Kesihatan turut menerima beberapa sumbangan daripada tiga penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang persendirian pada 27 dan 28 Oktober lalu.
Penderma-penderma berkenaan ialah Awang Mohd Izwan Izzat bin Hamdani yang menyumbangkan pelitup muka dan pelindung muka, Galleria YMRM dan imagine yang menyumbangkan scrubs serta Norhayani menyumbangkan air minum botol dan biskut pelbagai jenis.