Sumbangan terus diterima

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa Tabung Bantuan COVID-19 2021 menerima sumbangan berjumlah $3,700 daripada Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam dan sumbangan berjumlah $2,000 daripada Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam.

Sumbangan diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Berakas, kelmarin.

Kementerian Kesihatan turut menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah me-nerima beberapa sumbangan daripada penyumbang-penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta pada 13, 15 dan 16 November lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Bengawan Murni Beverages & Manufacturing (B) Sdn Bhd yang menyumbangkan air mineral; Biolab Plus Company menyumbangkan kit ujian pantas antigen (ART) serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei yang menyumbangkan air mineral.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan cek berjumlah $2,000 daripada Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam bagi Tabung Bantuan COVID-19, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan