Oleh Salawati Haji Yahya, Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Keprihatinan penduduk dan rakyat terhadap situasi pandemik COVID-19 di negara ini jelas dilihat dengan sumbangan yang disalurkan tanpa henti dalam membantu pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan membendung penularan wabak.
Hari ini, Swee Sdn Bhd telah menyumbangkan sejumlah $100,000 untuk Tabung Bantuan COVID-19 dalam sama-sama membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam terutamanya Kementerian Kesihatan membendung gelombang kedua penularan COVID-19.
Pengarah Swee Sdn Bhd, Pengiran Haji Mahalee bin Pengiran Damit dan Naib Pengerusi, Chua Min Chu antara yang hadir bergambar bersama replika cek sumbangan berkenaan sebelum diserahkan.
Sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.
Sementara itu, semalam, Kementerian Kesihatan telah menerima pelbagai lagi sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta dan orang persendirian.
Antara yang menghulurkan sumbangan adalah T.L.T Enterprise yang menyumbangkan air mineral dan water dispenser; Bong Lily menyumbangkan termometer inframerah, cerek elektrik dan barangan mandian; Awang Husaini menyumbangkan selimut, tuala dan barangan mandian; Josie Abdullah & Group dan Laniege Brunei menyumbangkan tuala, bantal dan selimut; Happy Star menyumbangkan dinding angin; Syarikat Penerbangan Diraja Brunei menyumbangkan berus gigi pakai buang manakala itu, Rezeki Bahirah menyumbangkan pita, baldi dan papan klip.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan bolehlah menghubungi Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.
Turut menghulurkan sumbangan adalah BrotherGarage yang menyumbangkan lebih 425 kotak pelitup muka kepada mereka yang memerlukan.
Wakil BrothersGarage ketika dihubungi Media Permata berkata, sumbangan berkenaan dihasratkan dapat membantu mereka daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.
Dengan sumbangan itu, mereka berharap dapat membantu menyelamatkan golongan berkenaan daripada ancaman wabak Covid-19 di negara ini.