Sumbangan terus mencurah

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Sumbangan terus mencurah-curah daripada pelbagai pihak yang bermurah hati dan prihatin terhadap usaha kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, di sini, kementerian berkenaan telah menerima beberapa sumbangan cek bagi Tabung Bantuan COVID-19 yang diterima oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, kelmarin.

Sumbangan cek yang diterima bernilai $40,000.88 adalah daripada Kumpulan Pegawai-pegawai Veteran ABDB dan $14,500 daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, sembilan penyumbang yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta turut menghulurkan sumbangan pada 2 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Firoz Jaya yang menyumbangkan biskut, jus buah-buahan dan minuman; JD Harapan Sdn Bhd menyumbangkan tilam, bantal, kontena penyimpanan dan pelindung muka; Perunding Primareka yang menyumbangkan tuala, selimut, lanyard dan pemegang pas, pelindung muka, pek ais, lampu suluh, papan putih, beg sampah Oximeter, cerek elektrik dan beg pakai semula dan Townview Sdn Bhd menyumbangkan tong sampah dan papan putih magnetik.

Sementara itu, Brunei Gas Carriers (BGC) menyumbangkan CPU, monitor, kekunci, tetikus dan wayar HDMI; Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam menyumbangkan scrub, pensanitasi, pelindung muka, botol semburan dan air minuman; Sukarelawan Belia Gasing yang menyumbangkan air minuman dan Joe Yap Enterprise menyumbangkan air minuman serta GL Extra Enterprise yang menyumbangkan Ice Substitute.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan supaya berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan cek berjumlah $40,000.88 bagi Tabung Bantuan COVID-19 daripada Kumpulan Pegawai-pegawai Veteran ABDB.
Haji Maswadi menerima sumbangan cek berjumlah $14,500 bagi Tabung Bantuan COVID-19 daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu Negara Brunei Darussalam.
Brunei Gas Carriers (BGC) antara yang menghulurkan sumbangan berupa CPU, monitor, kekunci, tetikus dan wayar HDMI kepada Kementerian Kesihatan pada 2 September lalu. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
Sumbangan daripada JD Harapan Sdn Bhd.