Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri berkenan berangkat ke Majlis Resepsi Secara Maya bagi Meraikan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-30 dan Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-72, hari ini.
Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan mengenai kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan China sejak 30 tahun.
“Pencapaian luar biasa dalam perkembangan hubungan dua hala adalah hasil kepimpinan dari kedua-dua buah negara, dan usaha bersama kedua-dua kerajaan dan sokongan rakyatnya,” jelas PYT Yu Hong.
Seterusnya Puan Yang Terutama menyatakan bahawa hubungan China-Brunei kini berada di titik awal yang baharu dan menyeru untuk meningkatkan serta mempromosi kerjasama yang erat dan bersama untuk mencapai kejayaan baharu bagi tempoh 30 tahun akan datang dalam persahabatan China-Brunei, tambah Puan Yang Terutama.
Puan Yang Terutama turut berkongsi beberapa pencapaian dalam hubungan diplomatik dan hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Di samping itu, Puan Yang Terutama berkata sejak penularan wabak ini, sokongan dan simpati daripada kerajaan Brunei, kerabat diraja, rakyat dan organisasi sosial kepada kerajaan China dan rakyatnya telah meningkatkan keyakinan rakyat China untuk mengatasi kesulitan tersebut.
Selain itu, China dan Brunei saling bantu-membantu semasa waktu mencabar ini, di mana kerajaan China melalui Kedutaan Besar China di Negara Brunei Darussalam tampil dengan memberikan sumbangan sebanyak 152,000 dos vaksin Sinopharm bagi membantu
Brunei untuk melawan ancaman COVID-19.
Dari segi hubungan dua hala, Puan Yang Terutama berkata China dan Brunei telah bekerjasama untuk mencapai manfaat bersama dan kerjasama yang adil. Ini dapat dilihat melalui ekonomi dan pertukaran perdagangan yang telah mencapai kemajuan besar.
Majlis yang diadakan secara maya tersebut telah dihadiri oleh 224 tetamu undangan.
Semasa majlis tersebut YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan memotong kek bersempena Meraikan Ulang Tahun ke-30 Penubuhan Hubungan Diplomatik di antara kedua-dua buah negara dan Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-72 bersama PYT Yu Hong secara maya.