Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumber alam perlu dijaga sebaiknya

    KEPERCAYAAN dan nilai dalam Islam memberikan penyelesaian berkesan dan komprehensif kepada cabaran persekitaran semasa yang dihadapi manusia.

    Islam mempunyai tradisi yang menonjolkan kepentingan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber semula jadi. Mengikut syariat Islam, unsur asas alam seperti tanah, air, api, hutan dan cahaya semuanya adalah milik segala makhluk yang hidup dan bukan hanya milik manusia.

    Ia diciptakan bagi membolehkan kelestarian kehidupan seluruh makhluk. Islam memberikan panduan bagi mempromosikan pembangunan secara mampan.

    Allah SWT memerintahkan manusia supaya mengelak daripada menyalah guna serta melakukan pembaziran sumber alam kerana perbuatan itu boleh mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.

    Keistimewaan yang diberikan kepada manusia untuk mengeksploitasi sumber semula jadi adalah atas dasar penjagaan yang menunjukkan hak untuk menggunakan ‘harta awam’ itu dengan syarat ia tidak dirosakkan atau dimusnahkan sewenang-wenangnya.

    Setiap manusia perlu bertindak sebagai penjaga alam dan mesti hidup dengan harmoni bersama makhluk lain. Menjadi tanggungjawab manusia untuk menghormati, memelihara serta menjaga alam sekitar dengan baik. – Gambar hiasan
    Islam mempunyai tradisi yang menonjolkan kepentingan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber semula jadi. Mengikut syariat Islam, unsur asas alam seperti tanah, air, api, hutan dan cahaya semuanya adalah milik segala makhluk yang hidup dan bukan hanya milik manusia. – Gambar hiasan

    Al-Quran mempunyai beberapa rujukan khusus untuk ekologi dan beberapa prinsip penting bagi pemuliharaan alam sekitar. Prinsip pertama dalam Islam untuk melestarikan alam sekitar adalah amanah.

    Sebagai seorang khalifah, manusia hendaklah mengambil semua langkah perlu bagi memastikan segala harta yang diamanahkan dapat diserahkan kepada generasi akan datang dalam bentuk sebaik mungkin.

    Setiap manusia perlu bertindak sebagai penjaga alam dan mesti hidup dengan harmoni bersama makhluk lain. Menjadi tanggungjawab manusia untuk menghormati, memelihara serta menjaga alam sekitar dengan baik.

    Kemusnahan alam sekitar termasuk pencemamaran industri, eksploitasi melulu dan salah urus sumber semula jadi tidak disukai Allah SWT. Berikut beberapa firman Allah SWT yang menyatakan hal berkenaan.

    Dalam Surah Al-Maidah, ayat 64 yang bermaksud: “Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

    Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al A’raf, ayat 85)

    Begitu juga peringatan Allah SWT supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini menerusi Surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

    Pemeliharaan alam sekitar adalah tugas keagamaan serta kewajipan sosial. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda berhubung aspek alam sekitar termasuk pemuliharaan sumbernya, penambakan tanah dan kebersihan alam sekitar.

    “Sesiapa yang menanam pokok dan menjaganya dengan baik sehingga ia besar dan mengeluarkan hasil akan mendapat ganjaran di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

    “Tidak ada seorang Muslim yang menanam pohon atau menanam tanaman, lalu burung memakannya atau manusia atau haiwan kecuali ia akan mendapat sedekah kerananya.” (Hadis riwayat Bukhari) – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda