Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumber asli adalah anugerah Tuhan – Presiden Azerbaijan

    BAKU, 12 NOV – Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, sekali lagi menegaskan bahawa minyak, gas dan sumber asli lain merupakan ‘anugerah Tuhan’, dalam ucapannya pada sidang kemuncak iklim COP29 yang dihoskan di negaranya hari ini.

    Dalam mempertahankan negaranya daripada dakwaan yang disifatkannya sebagai ‘berita palsu’ serta ‘kempen fitnah dan ugutan yang terancang,’ Aliyev berkata negara-negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan sumber asli yang dimiliki dan bagaimana mereka menggunakannya.

    “Catatkan apa yang saya katakan, ini adalah anugerah Tuhan dan saya ingin mengulanginya hari ini di hadapan khalayak ini,” katanya kepada para delegasi di persidangan iklim tersebut.

    “Minyak, gas, angin, matahari, emas, perak, tembaga, semuanya adalah sumber asli dan negara tidak patut dipersalahkan kerana memilikinya, serta tidak patut dipersalahkan kerana membawa sumber-sumber ini ke pasaran, kerana pasaran memerlukannya,” tambah Aliyev.

    “Orang ramai memerlukannya”.

    Gambar menunjukkan telaga minyak di ibu kota Azerbaijan pada 23 Julai lalu. – AFP

    Azerbaijan telah terbukti mempunyai simpanan minyak sebanyak tujuh bilion tong rizab dan merupakan salah satu tempat pertama di dunia yang memulakan pengeluaran minyak komersial.

    Sejak memperoleh kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Azerbaijan telah menghasilkan sebanyak 1.05 bilion tan minyak dan dijangka meningkatkan pengeluaran gas asli lebih daripada satu pertiga dalam dekad akan datang.

    Hasil daripada pengeluaran minyak dan gas menyumbang kira-kira 35 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Azerbaijan dan hampir separuh daripada belanjawan negara.

    Sekitar 75 peratus eksport tenaga Azerbaijan dihantar ke pasaran Eropah.

    Pada tahun 2022, Suruhanjaya Eropah menandatangani perjanjian dengan Baku untuk menggandakan import gas dari negara tersebut, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan Eropah terhadap gas Rusia, perjanjian yang turut dipertahankan oleh Aliyev dalam ucapannya.

    “Itu bukan idea kami. Mereka yang meminta bantuan kami dan kami bersetuju untuk membantu Eropah dalam keselamatan tenaga,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda