Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Kementerian Pendidikan mempunyai perancangan untuk memasukkan pembelajaran dalam talian ke dalam pembelajaran bercampur (blended learning) pada masa akan datang.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata sedemikian semasa mengulas mengenai sebila-ngan ibu bapa yang berpendapat bahawa pembelajaran dalam talian tidak begitu berkesan berbanding pembelajaran dalam kelas.
Menjawab persoalan mengenai usaha untuk memperbaiki pembelajaran dalam talian, Yang Berhormat Dato berkata, beberapa inisiatif telah dibuat terutama untuk pembangunan profesional guru-guru supaya mereka lebih cekap dan mahir untuk mengadakan pembelajaran dalam talian.
Perkara berkenaan (pembangunan profesional) juga baharu dan ia mengambil masa, tambah beliau semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini. Selain pembangunan profesional, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pihak kementerian juga memperbanyakkan sumber digital yang bukan saja dapat menolong guru-guru tapi juga pelajar untuk dapat mengakses sumber digital yang boleh membantu pembelajaran dan pengajaran mereka.
“Selain itu, banyak diadakan seperti perkongsian antara guru-guru yang lebih mahir dengan guru lain dan juga melatih kanak-kanak supaya mereka lebih mendiri dan dapat melaksanakan pembelajaran dalam talian yang mana ini adalah salah satu cara memberikan pembelajaran atas talian ini lebih berkesan,” jelasnya. Beliau seterusnya mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai School Asses Grades (SAG) yang dilaksanakan akan menyukarkan untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Kementerian Pendidikan telah menerima jaminan daripada pihak Cambridge yang telah memaklumkan tiada perbezaan dalam pensijilan yang akan dikeluarkan oleh pihak Cambridge International, sama ada berdasarkan peperiksaan atau SAG, ia adalah sama tanpa membezakan laluan pada pencapaian grid tersebut.
“Ini adalah komunikasi dari Cambridge International sendiri dan ini telah dikongsikan dan diharap ia akan memberi keyakinan kepada semua pihak yang mana sijil tersebut masih dari Cambridge dan ia diperakui oleh Cambridge,” jelasnya.