Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumber hutan perlu dipelihara

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2023 yang bakal disambut pada 21 Mac nanti, orang ramai diseru supaya menanamkan dan meningkatkan kesedaran bagi sama-sama memelihara sumber hutan negara.

    Sumber hutan merupakan sumber asli yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti yang banyak memberikan manfaat dan kepentingan kepada manusia. Semua nikmat yang dikurniakan ini adalah merupakan keperluan asasi bagi kehidupan manusia dan menjadi pelengkap kepada kehidupan di muka bumi ini.

    Menurut kenyataan daripada Jabatan Perhutanan, “Sejak dahulu lagi kehidupan kita sentiasa mengharapkan hutan sebagai sumber kehidupan dan pendapatan seharian. Hutan menjadi sumber makanan seharian, air bersih, kayu bagi bahan binaan, perubatan tradisional dan sebagainya. Sehingga ke hari ini masih terdapat masyarakat pedalaman yang kehidupan mereka masih bergantung kepada hasil-hasil hutan sebagai sumber pendapatan seharian mereka.”

    Menyedari akan kepentingan sumber hutan kepada pembangunan sosial, ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan Perhutanan telah membuat Dasar Perhutanan Negara bagi memastikan faedah sosial, ekonomi, pembangunan dan alam sekitar dari sumber hutan negara kekal dinikmati secara berterusan dari generasi ke generasi.

    Sumber hutan adalah merupakan sumber aset negara yang sangat berharga yang diwarisi zaman berzaman yang perlu dipelihara dan diurus dengan baik mengikut landasan yang tertentu agar ia tetap terpelihara. Jelas, tanggungjawab ini haruslah dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat di negara ini baik agensi kerajaan yang berkenaan mahupun bukan kerajaan dan orang awam amnya. Kesedaran ini harus sentiasa ditanamkan, dipupuk dan dikekalkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda