Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sumber nelayan makin kurang, hanya taman alam jadi harapan

    KUALA SELANGOR – “Sekiranya hutan paya bakau Taman Alam (Kuala Selangor)  diteroka untuk pembangunan, di mana lagi nelayan kecil seperti pak cik nak cari makan? Kehidupan nelayan di sini sudah semakin susah kerana hasil tidak lagi seperti dulu.”

    Nada kebimbangan nelayan pantai, Kahar Buntal, 69, jelas kedengaran di sebalik bunyi enjin bot yang agak membingitkan telinga ketika dia ditanya tentang ura-ura pembangunan Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa. 

    Bernama berpeluang mengikut anak jati Kuala Selangor itu menyauk kerang di Sungai Buloh, Jeram, bersebelahan Sungai Selangor baru-baru ini.

    Bapa kepada empat orang anak itu pada awalnya terdiam apabila mendengar soalan tersebut sambil melontarkan pandangannya jauh ke dalam hutan yang selama ini menjadi satu-satunya “periuk nasi” dia sekeluarga.     

    Hutan KSNP yang berkeluasan lebih kurang 292 hektar yang terletak di muara Sungai Selangor bersebelahan Bukit Melawati dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi itu adalah hutan yang masih berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan.

    Kahar Buntal berkata kini lebih banyak ‘sampah’ dan kulit kerang-kerangan yang diperolehnya berbanding hasil, dan mengaku keadaan sebelum 2015 tidak seteruk ini kerana jumlah kerang yang diperoleh boleh mencecah lebih 50 guni dalam masa dua jam sahaja, jauh berbeza yang ketika ini begitu sukar untuk mendapatkan 10 kilogram. – Bernama
    Hutan paya bakau amat penting buat nelayan kerana di sinilah tempat ikan, udang berlindung dan membiak. Tetapi sejak pembangunan rancak di kawasan sekitar, hasil tangkapan tidak lagi sebanyak dulu, malah aktiviti penangkapan ikan sudah semakin sukar akibat pencemaran.
    Pemandangan Taman Alam Kuala Selangor yang diambil menggunakan dron, baru-baru ini. – Bernama

    Ini berikutan wujudnya aktiviti guna tanah secara agresif di sepanjang pantai paya bakau Sungai Selangor hingga Sungai Buloh, Jeram, sekali gus menjadikan KSNP ekosistem penting bagi pembiakan sumber laut. 

    “Hutan paya bakau memang amat penting buat nelayan kerana di sinilah tempat ikan, udang berlindung dan membiak. Tetapi sejak pembangunan rancak di kawasan sekitar, hasil tangkapan tidak lagi sebanyak dulu, malah aktiviti penangkapan ikan sudah semakin sukar akibat pencemaran.

    “Pak cik tidak tahu punca pencemaran tetapi sejak adanya kilang kitar semula dan aktiviti penternakan udang serta ikan, kualiti air jauh berbeza berbanding sebelum ini yang jernih. Jadi, sekiranya hutan Taman Alam ini dibangunkan pastinya keadaan akan menjadi lebih teruk lagi,” katanya.

    Bukan lagi utama

    Memang benar keluhan dan kebimbangan datuk kepada 10 orang cucu itu apabila Bernama melihat sendiri kesukaran lelaki ini sepanjang memerah keringat hampir satu jam di perairan berhampiran KSNP mencari hasil kerang ketika bahang mentari begitu terik menyengat kulit.

    Lebih banyak ‘sampah’ dan kulit kerang-kerangan berban-ding hasil, kata Kahar yang mengaku keadaan sebelum 2015 tidak seteruk ini kerana jumlah kerang yang diperoleh boleh mencecah lebih 50 guni dalam masa dua jam sahaja, jauh berbeza ketika ini begitu sukar untuk mendapatkan 10 kilogram. Malah, boleh dikatakan hasil diperoleh ketika itu ‘lumayan’ bagi kalangan nelayan pantai seperti Kahar yang turut sama mengusahakan kebun kerang, namun dia berkata kesukaran tersebut menyebabkan pekerjaan nelayan ketika ini hanya dijadikan sebagai sampi-ngan sahaja. 

    “Ramai yang sudah tidak mengusahakan lagi kebun kerang disebabkan susah nak dapatkan hasil walaupun Kuala Selangor sebelum ini terkenal sebagai pusat penghasilan penting sumber tersebut, dan macam pak cik, pekerjaan utama sekarang adalah membawa pelancong menyusuri sungai, melihat burung hijrah di Taman Alam. 

    “Ramai pelancong khususnya (dari) luar negara suka dengan aktiviti alam semula jadi di Taman Alam dan KSNP antara sumber pendapatan utama buat pak cik dan juga nelayan lain. Jadi, jika dibangunkan Taman Alam, apa lagi yang tinggal buat kami,” keluhnya. 

    Pentingnya hutan paya bakau ini kepada komuniti se-tempat turut diakui pakar tadbir urus persekitaran di Universiti Putra Malaysia (UPM),  Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman yang menyatakan hutan tersebut mempunyai nilai ekonomi tinggi  selain berfungsi sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam. Ini ke-rana, ia menyediakan sumber ekonomi sama ada daripada sumber perikanan, kayu arang ataupun ekopelancongan kepada penduduk setempat.Sepertimana yang diketahui, KSNP merupakan antara lokasi penting laluan  ‘East Asian-Australian Flyway’ burung migrasi dari Oktober hingga Mac.

    Selain kaya dengan khazanah flora dan fauna endemik seperti burung upeh yang kini diancam kepupusan, rama-rama jenis mangrove tiger butterfly, lotong kelabu yang hanya boleh ditemukan di Kuala Selangor dikenali Trachypithecus selangorensis dan juga habitat memerang terancam.

    Kerugian besar

    “Jika KSNP dibangunkan, maka ia merupakan satu kerugian besar kerana kesemua fungsi dan perkhidmatan ditawarkan oleh hutan ini akan lenyap bersama arus pembangunan, dan kerana itu amat penting ekosistem unik ini dikekalkan tanpa dikacau ganggu dan diasak oleh sebarang aktiviti pembangunan. 

    “Bukan sahaja hutan bakau di KSNP tetapi sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar, keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan itu akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan membesar serta hi-langnya nilai ekopelancongan,” katanya. 

    Menurut Haliza, keuntungan daripada kegiatan perikanan di kawasan bakau mencecah berjuta-juta ringgit setahun, malah 42 peratus daripada tangkapan ikan di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah ikan yang mempunyai hubungan rapat dengan paya bakau. 

    Kerana itu beliau berpandangan status KSNP sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) penting dipertahan selain turut bersetuju dengan cadangan MNS untuk menjadikan Taman Alam sebagai Tapak Ramsar seperti Tasik Bera di Pahang dan Sungai Pulai di Johor.

    Apatah lagi, kata Haliza,  keluasan hutan bakau di Malaysia telah berkurangan daripada 467,760 hektar kepada 409,290 hektar dalam tempoh 30 tahun lepas.  Situasi tersebut semakin membimbangkan kerana lebih 50 peratus hutan jenis berkenaan di Semenanjung Malaysia diancam dan sedang mengalami kemusnahan, katanya. 

    Malah, peratusan tersebut semakin meningkat sejak 40 tahun lepas akibat pembangunan yang tidak menitikberatkan kepentingan menjaga ekosistem semula jadi di negara ini. 

    Bernama sebelum ini mendedahkan tentang keme-lut KSNP yang merupakan satu-satunya ‘tangki oksigen’ yang masih lagi berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan menjadi tumpuan kalangan penduduk sekitar serta aktivis alam sejak bulan lepas berikutan terdapatnya cadangan membangunkan kawasan tersebut. 

     Impak bencana alam dan konflik

    Bernama difahamkan oleh pengurus MNS KSNP Maichal Isthyben sebelum ini bahawa KSNP akan dibangunkan menjadi ekopelancongan dengan resort mewah yang meliputi beberapa zon termasuk di zon kawasan bakau. 

    Antara fasiliti yang dicadangkan untuk dibangunkan ialah  pusat jualan produk tempatan, pusat spa, yoga & taici, kolam air panas serta beberapa jenis bilik penginapan termasuk chalet yang dianggarkan berjumlah 200 unit.

    Malah, ura-ura tersebut turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid ketika dihubungi baru-baru ini. 

    “Betul… Ia bukanlah keseluruhan. Orang tidak faham, apabila disebut pembangunan taman alam, orang ingat keseluruhan. Bukan, tidak. Hanya sebahagian sahaja yang akan dibangunkan,” kata Ahmad Fadzil berkaitan persoalan tersebut.  Mengulas mengenainya, Ketua Kampung Tanjung Keramat Mohamad Naser Mohamad Amid, 41, berkata walaupun pembangunan tersebut didakwa hanya melibatkan ‘sebahagian sahaja’, beliau dan seluruh penduduk percaya implikasi pembangunan yang dirasai ketika ini akan bertambah teruk sekiranya cadangan itu direalisasikan.

    Ini kerana bukan sahaja hasil pendapatan nelayan pesisir pantai yang merupakan pekerjaan utama penduduk di situ terjejas akibat guna tanah agresif hutan bakau banjar selatan tetapi juga telah menyebabkan mereka berhadapan dengan pelbagai impak bencana alam. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...