Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumber tenaga bersih ditekankan SIEW 2020

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Kementerian Tenaga

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2020 dilancarkan pada 26 Oktober oleh Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing di mana buat kali pertamanya, acara itu diadakan dalam format hibrid iaitu secara atas tapak dan menggunakan elemen penstriman dalam talian bagi peserta di Singapura dan luar negara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, hari ini, SIEW 2020 diadakan selama empat hari bermula 26 Oktober hingga 30 anjuran Energy Market Authority (EMA), Singapura, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri, Singapura.

    SIEW 2020 mengandungi pelbagai acara yang diatur bagi menangani tema, ‘Menjana Masa Depan Tenaga Rendah Karbon Kita Bersama,’ dengan penganjuran ke-13 meletakkan keutamaan kepada peranan pemain tenaga dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mempercepatkan usaha dalam membina masa depan tenaga rendah karbon.

    Kenyataan menyatakan bahawa Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein menyampaikan ucaptama di sesi panel bertajuk, Transition: Transitioning to our Low Carbon Energy Future, semasa Sidang Kemuncak Tenaga Singapura yang diadakan pada 26 Oktober.

    Dalam ucaptamanya, Yang Berhormat Dato menekankan pentingnya gas sebagai sumber tenaga lebih bersih yang boleh diakses dan mampu dimiliki di rantau ini. Ia digariskan dengan penekanannya dalam Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga, antara strategi lain bagi pembangunan tenaga mampan dalam ASEAN.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny semasa menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak tersebut.
    TYT Chan Chun Sing semasa membincangkan perkara-perkara mengenai perkembangan serantau semasa acara tersebut.

    Beliau menambah bahawa inovasi dan teknologi bersama-sama dengan mampu untuk dimiliki akan memainkan peranan yang utama dalam merealisasikan masa depan tenaga rendah karbon.

    Hidrogen, Simpanan, Penggunaan dan Tangkapan Karbon (CCUS) serta teknologi simpanan tenaga turut diketengahkan sebagai teknologi utama mendatang yang diramalkan oleh IEA sebagai teknologi yang mampu untuk mempercepatkan lagi pengurangan pengeluaran gas rumah hijau global.

    Beliau menyatakan bahawa Kementerian Tenaga akan memantau dengan dekat perkembangan itu bagi menyokong agenda iklim kebangsaan dan usaha global bagi decarbonisation.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny turut mengongsi bahawa teknologi suria telah dimanfaatkan di Negara Brunei Darussalam sebagai tambahan bekalan tenaga bagi penduduk pedalaman.

    Pihak kementerian pada masa ini juga sedang melihat kepada pembangunan projek tenaga suria berskala kecil dan sederhana yang sesuai bagi keadaan dan persekitaran Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Tenaga akan meneruskan usaha ke arah mengurangkan intensiti tenaga dan untuk meningkatkan bahagian keseluruhan tenaga yang boleh diperbaharui di dalam campuran penjanaan tenaga Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan itu seterusnya menyatakan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny turut mengadakan perjumpaan dua hala dengan TYT Chan Chun Sing pada 26 Oktober di mana mereka membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perkembangan serantau dan antarabangsa serta bidang-bidang berkepentingan bersama yang menunjukkan hubungan dua hala yang mesra di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

    Kedua-dua orang menteri juga meneroka bidang-bidang kerjasama yang berpotensi di antara kedua-dua buah negara yang berkaitan dengan tenaga.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

    SIEW merupakan platform bagi profesional tenaga, penggubal dasar dan pengulas untuk membincangkan mengenai isu-isu tenaga serta berkongsi amalan terbaik dan penyelesaian dalam sektor tenaga global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda