TOKYO, 17 JAN – Sumo berdepan jurang pada puncak sukan purba itu buat kali pertama dalam lebih 30 tahun apabila satu-satunya yokozuna, Terunofuji, mengumumkan tentang persaraannya, hari ini.
Ahli sumo kelahiran Mongolia berusia 33 tahun itu bergelut dengan kecederaan dan menarik diri daripada Kejohanan Utama Sumo Tahun Baharu yang sedang berlangsung di Tokyo, kelmarin, selepas kalah dalam pertarungannya.
Dia berkata kepada pemberita bahawa dia akan bersara untuk melatih ahli gusti muda selepas ‘14 tahun yang sukar’ di gelanggang.
“Saya telah memberikan segala-galanya tetapi pada kejohanan ini saya tidak dapat beraksi seperti yang saya inginkan dan saya tidak sepatutnya memasuki gelanggang jika minda dan badan tidak berada pada kekuatan sebenar.
“Saya rasa badan saya tidak mampu lagi untuk sumo jadi saya telah memutuskan untuk bersara,” katanya.
Terunofuji, yang memenangi 10 kejohanan dalam kerjayanya, adalah satu-satunya yokozuna sumo yang paling aktif.
Hoshoryu dari Mongolia berpeluang untuk naik ke peringkat tinggi jika dia mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan itu. Dia mempunyai empat kemenangan dan satu kekalahan selepas lima hari pembukaan.
Jika dia gagal, sumo tidak akan mempunyai yokozuna buat kali pertama sejak Mac 1993, apabila Akebono kelahiran Hawaii membuat penampilan sulungnya di peringkat tersebut.
“Apabila saya mula-mula menjadi yokozuna, saya tidak menyangka saya akan dapat meneruskan gusti untuk masa yang lama,” kata Terunofuji, yang dinaikkan ke kedudukan teratas pada Julai 2021. – AFP