Filem bergenre seram, budaya dan fiksyen, Sumpahan Jerunei terus menerima pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih dipertandingkan dan ditayangkan di Paris Art & Movie Award di Paris, Perancis pada Ogos tahun depan.
Penerbit bersama filem, Datin Wendy Wong, berkata pemilihan dibuat berdasarkan keunikan jalan cerita dan elemen seni dipaparkan dalam naskhah terbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd itu.
“Orang Perancis suka dengan karya memiliki unsur seni. Atas alasan ini, saya dan rakan kongsi, Datuk Nancie Foo mencuba nasib menghantar penyertaan di Paris Art & Movie Award.
“Alhamdulillah, filem arahan Jason Chong ini terpilih untuk ditayangkan, sekali gus dipertandingkan dalam acara yang bakal berlangsung pada Ogos 2024.
“Selain berdasarkan rahsia dan misteri di sebalik sejarah, filem Sumpahan Jerunei ini juga mengangkat elemen seni dan budaya menerusi penggunaan ‘props’, busana dan makanan.
“Dari segi sinematografi juga antara tarikan. Mungkin gabungan elemen inilah membuatkan juri tertarik untuk memilih filem berada dalam senarai pencalonan,” katanya kepada BH Online.
Wendy menambah, filem Sumpahan Jerunei bukan sahaja mempertaruhkan aspek kesenian, budaya dan sejarah, malah turut mengetengahkan jalan cerita yang tidak ‘klise’ seperti kebanyakan filem genre seram lain. – Agensi


