Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumpit-sumpit: Ikan dalam lagenda

    Oleh Raz AS

    Diceritakan secara turun-temurun berabad lamanya di kalangan masyarakat kita di Brunei Darussalam, dalam kisah lagenda Awang Semaun yang mendapat kekuatan luar biasa setelah memakannya, ikan sumpit-sumpit merupakan spesies ikan yang paling unik di dunia kerana kebolehannya yang tidak ada pada spesies-spesies ikan yang lain.

    Ikan sumpit-sumpit atau juga dikenali sebagai archerfish merupakan spesies ikan daripada keluarga Toxotidae, yang dikenali mempunyai kebolehan unik berburu serangga dan haiwan-haiwan kecil dengan menjatuhkannya ke dalam air menggunakan ‘sumpitan’ air daripada mulutnya.

    Secara amnya ikan sumpit-sumpit mempunyai taburan dari India dan Sri Lanka, keseluruhan Asia Tenggara sehinggalah ke Australia Utara dan Melanesia. Kebanyakan spesies ikan sumpit-sumpit hidup di sungai-sungai berair tawar, namun sebahagiannya pula mampu hidup di perairan tawar dan air bahal seperti kawasan muara sungai dan berbakau.

    Ikan sumpit-sumpit mempunyai badan yang padat dan bermata besar, warna badannya keabuan atau keperakan dengan jalur, tompok atau corak hitam di kedua-dua sisi badannya.

    Ia boleh membesar sehingga 30 ke 40 sentimeter panjang, walau bagaimanapun saiz kebiasaan yang ditemui adalah kira-kira 15 ke 20 sentimeter panjang sahaja.

    Ikan sumpit-sumpit terutama sekali yang bersaiz besar mampu menembakkan air sejauh dua ke tiga meter jauh tepat ke sasarannya. Walau bagaimanapun, sumpitan air bukanlah satu-satunya senjata yang digunakan oleh ikan sumpit-sumpit ketika berburu mangsa yang ada di luar air. ikan ini juga mampu melompat tinggi keluar dari air untuk menyambar mangsanya.

    Meskipun selalu berburu mangsanya seperti serangga dan haiwan kecil seperti cicak, serta ikan-ikan kecil dan krustasea, ikan sumpit-sumpit adalah spesies ikan omnivor yang juga menjadikan tumbuhan sebagai dietnya.

    Walaupun di dalam kisah lagenda tempatan, ikan sumpit-sumpit ditangkap dan dimakan oleh pahlawan lagenda Awang Semaun, namun ia bukanlah spesies yang popular dimakan di negara ini dan tidak ramai pemancing yang menjadikannya sebagai buruan selain kebanyakannya adalah untuk suka-suka sahaja.

    Selain itu, ikan sumpit-sumpit dipelihara di dalam akuarium oleh penggemar-penggemar ikan hiasan di seluruh dunia. Namun tidak disyorkan untuk dipelihara oleh pemilik-pemilik akuarium yang kurang pengetahuan kerana ia memerlukan penjagaan yang rumit dan sifatnya yang lebih suka memakan dan berburu makanan hidup berbanding palet.

    Ikan sumpit-sumpit mempunyai badan yang padat dan bermata besar, warna badannya keabuan atau keperakan dengan jalur, tompok atau corak hitam di kedua-dua sisi badannya. – Agensi
    Ikan sumpit-sumpit terutama sekali yang bersaiz besar mampu menembakkan air sejauh dua ke tiga meter jauh tepat ke sasarannya. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda