BEIJING, 24 DIS – Bintang renang yang dikaitkan dengan pengambilan dadah, Sun Yang nampaknya akan terlepas Sukan Olimpik Paris selepas China menerbitkan kriteria pemilihannya untuk Sukan 2024 itu.
Persatuan Renang China berkata pada Jumaat lalu pasukannya akan dipilih berdasarkan keputusan kejohanan dunia pada 2023 dan kejohanan dunia 2024 di Doha serta keputusan kejohanan kebangsaan, yang akan berlangsung pada 19-27 April.
Kriteria tersebut akan mengetepikan pemenang pingat Olimpik enam kali, Sun, dengan penggantungan kerana pengambilan dadah tidak berakhir sehingga Mei.
Persatuan Renang China berkata dalam satu kenyataan, “Keputusan lapan terbaik daripada perlawanan akhir setiap acara renang pada Kejohanan Akuatik Dunia Fukuoka 2023 dan Kejohanan Akuatik Dunia Doha 2024, dan keputusan Kejohanan Renang Kebangsaan 2024 akan dianggap sebagai keputusan kelayakan.”
Sun, 32, telah digantung selama lapan tahun oleh Agensi Anti-Dadah Dunia pada 2020 selepas memecahkan bebuli darah semasa ujian dadah 2018, keputusan yang masih dipertikainya. Dia berjaya mengurangkan penggantungan selepas merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Sun telah menyatakan minat untuk kembali ke pertandingan tepat pada masanya untuk Paris, yang akan menjadi Olimpik keempatnya.
Dalam catatan di halaman media sosial Weibonya kelmarin, dia berkata, “Berenang adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dalam hidup saya, dan saya akan sentiasa bersemangat mengenainya.” – AFP


