SHANGHAI, 28 MEI – Bekas juara Olimpik tiga kali, Sun Yang, hari ini menyatakan hasratnya untuk kembali ke arena kejohanan renang ‘secepat mungkin’ selepas mengakhiri penggantungan lebih empat tahun kerana pelanggaran doping.
Perenang gaya bebas dari China itu pada asalnya digantung selama lapan tahun oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada 2020 kerana memecahkan botol sampel darah semasa ujian pada 2018, keadaan yang masih dipertikaikannya.
Penggantungan itu dikurangkan kepada empat tahun tiga bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan pada 2021 selepas rayuan.
“Saya berharap dapat menyertai satu pertandingan dan kembali ke blok permulaan secepat mungkin,” kata atlet berusia 32 tahun itu dalam satu wawancara yang diterbitkan oleh media kerajaan, The Paper.
Kepulangan Sun berlaku di tengah-tengah pengawasan ketat terhadap perenang China sejak diketahui bahawa WADA membenarkan 23 daripada atlet mereka untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2021 walaupun positif ujian bahan terlarang.
WADA menerima penjelasan China bahawa para perenang tidak sengaja mengambil bahan tersebut melalui makanan di hotel mereka. – AFP