LEEDS, 29 JULAI – Pemimpin parti konservatif British, Rishi Sunak dan Liz Truss semalam mengadakan debat pertama mereka di hadapan ahli parti dalam usaha meneruskan kempen mencari pengganti Perdana Menteri Boris Johnson.
Pertemuan di Leeds, utara England adalah pertarungan pembukaan bagi 12 acara di seluruh negara untuk ahli akar umbi memilih pemimpin baharu, selepas Kabinet memaksa Johnson meletak jawatan.
Keputusan itu akan diumumkan pada 5 September depan dan Truss dilihat mendahului secara kukuh dalam tinjauan ahli parti Tory itu selepas Setiausaha Luar Negara itu berikrar melaksanakan pemotongan cukai serta-merta ketika Britain sedang menghadapi kemerosotan dalam taraf hidup.
Mengenai dasar luar, kedua-dua pesaing itu berikrar untuk melanjutkan usaha sokongan Johnson terhadap Ukraine serta menentang kebangkitan China, malah mahu memperoleh keuntungan daripada ‘peluang Brexit’ meskipun ia masih samar.
Truss berkata didikannya di Yorkshire memberikannya ‘ketabahan, keazaman dan kejujuran’.
Sunak yang juga bekas Menteri Kewangan bagaimanapun mengecam ‘ekonomi dongeng’ Truss malah berikrar meredakan inflasi yang melonjak terlebih dahulu, tetapi turut mengakui bahawa beliau ‘bukan pilihan’ dalam pertandingan itu.
Dua perdebatan yang disiarkan di televisyen setakat ini tegang – kali kedua yang dilakukan kelmarin terpaksa dihentikan secara tiba-tiba apabila moderator TalkTV pengsan ketika program disiarkan secara langsung.
Namun di Leeds, tiada drama yang berlaku, meskipun banyak soalan keras dikeluarkan oleh ahli Tory.
Calon-calon itu berada di atas pentas seorang demi seorang, bukannya bersemuka secara bersebelahan. – AFP
