Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sunak umum rombakan kabinet

    LONDON, 7 FEB – Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak hari ini merombak beberapa jabatan kerajaan dan melantik pengerusi baharu Parti Konservatif selepas pemecatan sekutu kanan pada bulan lalu disebabkan urusan percukaiannya.

    Sunak, yang pada minggu lalu menandakan 100 hari di 10, Downing Street, mengumumkan Greg Hands telah mengganti Nadhim Zahawi dalam kapasiti ketua parti dan menteri kabinet tanpa portfolio.

    Pemimpin Tory itu memecat Zahawi selepas siasatan dalam hal ehwal percukaiannya – wujud sejak menubuhkan syarikat tinjauan YouGov pada 2000 – mendapati ‘pencabulan serius’ dalam peraturan kementerian.

    Hands, ahli parlimen untuk kawasan London barat, berkata di Twitter beliau berasa ‘teruja’ untuk menjadi Pengerusi Parti Konsevatif, peranan penyelarasan yang dilihat penting menjelangnya pilihan raya umum.

    Sunak juga memilih untuk menubuhkan empat jabatan kerajaan baharu, ketika beliau berusaha memperbaiki kemelut yang dihadapi kerajaan sebelum pilihan raya umum dijangka diadakan pada tahun depan.

    Sunak menubuhkan Jabatan Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih dan melantik bekas Setiausaha Perniagaan, Grant Shapps untuk mengetuai kementerian itu.

    Beliau juga melancarkan Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi, melantik bekas Setiausaha Budaya Michelle Donelan, manakala penggubal undang-undang Lucy Frazer dinaikkan pangkat untuk mengganti Setiausaha Negeri untuk Budaya, Media dan Sukan.

    Kemi Badenoch pula dilantik menyandang jawatan Setiausaha Perdagangan Antarabangsa, selain kekal sebagai Menteri Wanita dan Kesamaan Hak. – AFP

    Perdana Menteri Rishi Sunak menyampaikan ucapan di Plexal, Taman Olimpik Ratu Elizabeth di timur London baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda