LONDON, 14 MEI – Sunderland mara ke final play-off Liga Kejuaraan dengan penuh dramatik apabila gol Dan Ballard pada saat-saat akhir masa tambahan memastikan kemenangan agregat 3-2 ke atas Coventry, kelmarin.
Pasukan bimbingan Regis Le Bris ketinggalan selepas jaringan Ephron Mason-Clark pada lewat separuh masa kedua dalam aksi separuh akhir kedua.
Namun, ketika penentuan sepakan penalti semakin hampir, Ballard menanduk masuk pada masa kecederaan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dan mencetuskan sorakan daripada lebih 46,000 penyokong yang memenuhi Stadium of Light.
Sunderland akan menentang Sheffield United dalam final play-off di Wembley pada 24 Mei.
Sheffield menamatkan musim di tempat ketiga, 14 mata di hadapan Sunderland yang berada di kedudukan keempat, dengan kedua-dua pasukan saling menewaskan antara satu sama lain musim ini.

Harapan Sunderland untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lapan tahun – satu detik hitam termasuk bermain di divisyen ketiga kini kembali menyala.
Namun, pasukan Le Bris perlu memperbaiki persembahan yang kelihatan gugup dan hampir menghadiahkan tempat ke final kepada Coventry.
“Ia benar-benar menakjubkan kerana senario ini sungguh luar biasa. Kami mungkin terlalu gugup pada awal permainan,” kata Le Bris.
“Ia agak mengecewakan kerana kami tahu kami boleh bermain lebih baik. Kami mengubah struktur dan semasa masa tambahan, kami bermain dengan baik.
“Sepakan sudut terakhir itu sungguh hebat untuk Ballard. Pemain layak menikmati detik ini dan kami ada satu final hebat untuk dihadapi. Sekarang, kami hanya mahu menikmatinya.” – AFP