Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sunfish kembali sihat selepas patung manusia dipasang

    TOKYO, 22 JAN – Seekor ikan sunfish di akuarium Kaikyokan, Shimonoseki, yang dilaporkan hilang selera makan dan bertindak pelik selepas akuarium tersebut ditutup untuk pengubahsuaian, kini kembali sihat selepas penjaganya memasang patung manusia di luar tangki.

    Sunfish itu tiba pada Februari 2024 dari perairan Kochi di Lautan Pasifik, mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat seperti melanggar dinding tangki dan enggan makan beberapa hari selepas akuarium ditutup pada 1 Disember.

    Penjaga akuarium pada mulanya mencuba pelbagai cara, termasuk mengurangkan jumlah makanan dan melawat tangki ikan tersebut bagi mengurangkan bunyi bising akibat kerja-kerja pembinaan. Namun, keadaan ikan itu tidak menunjukkan sebarang perubahan positif.

    Dalam satu mesyuarat kakitangan, seorang penjaga mencadangkan bahawa ketiadaan penonton mungkin menjadi punca masalah. Sebagai usaha terakhir, mereka menggantung pakaian seragam dan meletakkan patung berbentuk manusia dengan wajah tersenyum di luar tangki.

    “Kami agak ragu-ragu, tetapi bersedia mencuba apa sahaja,” kata Moe Miyazawa, seorang penjaga akuarium. Keajaiban berlaku apabila ikan itu mula makan keesokan harinya buat kali pertama selepas seminggu.

    “Kami tahu ia melihat ke arah kami ketika patung-patung itu dipasang, tetapi tidak menyangka ia akan mula makan pada hari berikutnya,” tambah Miyazawa, tersenyum. Kini, penjaga akuarium lebih kerap melawat tangki dan melambai ke arah ikan tersebut.

    Akuarium itu dijangka dibuka semula pada musim panas dan para penjaga berharap sunfish itu akan kembali menarik perhatian ramai pengunjung. – AP

    Ikan sunfish berenang berhampiran potongan kadbod bentuk manusia di Kaikyukan di Shimonoseki, wilayah Yamaguchi, selatan Jepun pada 21 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda