Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sungai Amazon di paras terendah

    BRASILIA, 17 OKT – Sungai Negro, anak sungai kedua terbesar Amazon, kelmarin mencapai paras terendah sejak pengukuran rasmi bermula berhampiran bandar Manaus 121 tahun yang lalu.

    Rekod itu mengesahkan bahawa bahagian hutan hujan terbesar di dunia mengalami kemarau yang paling teruk, hanya kurang dua tahun selepas banjir.

    Pada waktu pagi, paras air di bandar pelabuhan itu mencatatkan paras terendah iaitu 13.5 meter, kurang daripada 30.02 meter yang dicatatkan pada Jun 2021 iaitu paras tertinggi pernah direkodkan.

    Sungai Negro mengalirkan kira-kira 10 peratus dari Lembah Amazon dan merupakan yang keenam terbesar di dunia berdasarkan jumlah air.

    Sungai Madeira, satu lagi anak sungai utama di Amazon, merekodkan tahap rendah, menyebabkan penghentian empangan hidroelektrik Santo Antonio, yang keempat terbesar di Brazil.

    Di seluruh Amazon di Brazil, paras sungai yang rendah telah menyebabkan beratus-ratus komuniti sungai menjadi terpisah dan berjuang untuk mendapatkan akses kepada air minuman.

    Sungai yang kering juga mengganggu perjalanan bot komersial untuk menghantar bekalan ke Manaus, bandar yang mempunyai dua juta orang penduduk dengan taman perindustrian yang besar.

    Manaus merupakan bandar terbesar dan ibu kota Amazon, negeri yang paling teruk dilanda kemarau. Pada akhir September, 55 daripada 62 perbandaran di sana memasuki keadaan kecemasan kerana kemarau yang teruk.

    “Sungai yang kering-kontang menyebabkan perjalanan melalui sungai sukar dilakukan,” kata seorang pemandu bot, Cledson Lopes Brasil kepada The Associated Press. – AP

    Bot-bot terkandas di Sungai Negro disebabkan oleh paras air sungai yang rendah susulan kejadian kemarau di Manaus, Brazil. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda