BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Pasukan Sungai Arut FT muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sepasukan Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Padang Sekolah Rendah Junjongan, Kampung Junjongan, sempena Sambutan Hari Belia dan pengisian cuti penggal persekolahan.
Sebanyak empat pasukan menyertai kejohanan tersebut, iaitu Sungai Arut FT, Mengatai FT, Pinang 28 FT dan Sungai Jita FT. Nama-nama pasukan diambil daripada kawasan sekitar Kampung Junjongan sebagai usaha memperkenalkan tempat berkenaan kepada generasi baharu.
Turut hadir menyaksikan kejohanan ialah Ketua Kampung Junjongan, Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang selaku tetamu kehormat.
Kejohanan itu diungkayahkan oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Junjongan dengan kerjasama Takmir Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Program terlebih dahulu dimulakan dengan Kuliah Subuh di Masjid As-Salaam yang menekankan sambutan Hari Belia, bertujuan menarik minat golongan muda ke arah gaya hidup sihat, mencintai masjid serta mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat sepanjang cuti persekolahan.









