Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sungai di dunia hadapi tahun paling kering

    GENEVA, 7 OKT – Agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa tahun 2023 merupakan tahun paling kering dalam lebih tiga dekad bagi sungai-sungai di dunia, ketika tahun panas pecah rekod itu mencentuskan kekeringan aliran air dan menyumbang kepada kemarau yang berpanjangan di beberapa tempat.

    Pertubuhan Meteorologi Dunia juga menyatakan bahawa glasier yang membekalkan air kepada sungai di banyak negara mengalami kehilangan jisim yang terbesar dalam tempoh lima dekad yang lalu, memberi amaran bahawa pencairan ais boleh mengancam keselamatan air jangka panjang untuk jutaan orang di seluruh dunia.

    “Air adalah kenari dalam lombong arang bagi perubahan iklim. Kami menerima isyarat kecemasan dalam bentuk hujan lebat yang semakin melampau, banjir dan kemarau yang memberikan kesan besar kepada nyawa, ekosistem dan ekonomi,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo, mengeluarkan laporan itu hari ini.

    Beliau berkata bahawa peningkatan suhu sebahagiannya telah menyebabkan kitaran hidrologi menjadi “lebih tidak menentu dan tidak dapat diramalkan” dengan cara yang boleh menghasilkan “sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit air” melalui kemarau dan banjir.

    Agensi cuaca, memetik angka dari UN Water, menyatakan bahawa kira-kira 3.6 bilion orang menghadapi akses yang tidak mencukupi kepada air selama kira-kira sebulan dalam setahun dan angka itu dijangka meningkat kepada 5 bilion menjelang 2050.

    WMO juga menyatakan bahawa 70 peratus daripada semua air yang diambil oleh manusia dari sistem hidrologi digunakan untuk pertanian. – AP

    Sebahagian daripada Sungai Negro kering di tengah-tengah kemarau teruk di pelabuhan di Manaus, negeri Amazonas, Brazil pada 4 Oktober. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda