BAGHDAD, 10 SEPT – Sungai Furat di Iraq kini mengalir pada paras terendah dalam sejarah ketika negara yang dilanda kemarau itu berdepan krisis kekurangan air paling buruk.
Seramai 46 juta penduduknya berdepan peningkatan suhu, kekurangan air kronik dan kemarau berulang saban tahun, menjadikan Iraq antara negara yang paling terkesan akibat perubahan iklim.
Kesan paling ketara dirasai di selatan negara itu, apabila pengurangan aliran sungai menyumbang kepada pencemaran air dan penyebaran pesat alga.
Pada masa ini, Iraq hanya menerima kurang daripada 35 peratus daripada jumlah peruntukan aliran Sungai Tigris dan Furat, menurut pihak berkuasa.
Bagi mengekalkan aliran Sungai Furat, Iraq melepaskan lebih banyak air dari takungan yang semakin susut berbanding jumlah yang diterima, langkah yang dilihat tidak mampan.

Jurucakap kementerian sumber air, Khaled Shamal, berkata rizab air di tasik buatan kini “berada pada paras terendah dalam sejarah negara Iraq”.
Rizab tersebut berkurang daripada 10 bilion meter padu pada akhir Mei kepada lapan bilion iaitu kurang daripada 8 peratus kapasiti penuh.
Pengurangan aliran sungai itu telah menjejaskan kualiti air dan mengancam ekosistem Sungai Furat.
Menurut Khateeb, pelepasan air dari takungan lama bagi mengisi sungai telah menyebabkan penyebaran alga, yang menyerap oksigen dan membahayakan hidupan akuatik.
Kementerian alam sekitar pada Ahad lalu turut memberi amaran mengenai peningkatan pencemaran bakteria serta kawasan alga yang luas di wilayah Karbala.
Amaran tersebut telah dikeluarkan berhubung kualiti air ‘amat teruk’ di wilayah bersebelahan, Najaf.
Di Tasik Najaf, jurugambar AFP melaporkan tasik yang dahulunya subur kini tinggal lopak-lopak kecil yang bertaburan di lembangan.
Di Nasiriyah, ibu kota wilayah Dhi Qar, jurugambar AFP menyaksikan bunga kiambang tumbuh di Sungai Furat.
Tumbuhan invasif kiambang yang wujud di Iraq sejak 1990an semakin berleluasa akibat aliran air yang rendah, sekali gus memburukkan kesannya, menurut Khateeb.
Tumbuhan tersebut mampu menyerap sehingga lima liter air setiap hari bagi setiap pokok, selain menghalang cahaya matahari dan oksigen yang penting untuk kelangsungan hidup akuatik.
Kementerian alam sekitar pada Isnin berkata, air yang diproses masih mematuhi piawaian ketat, dengan kualiti setakat ini ‘boleh diterima’ dan selamat digunakan di bandar-bandar di selatan serta tengah Iraq. – AFP

