KAHERAH – Perlumbaan perahu naga Cina yang berusia 2,000 tahun itu telah mendapat haluan baru di perairan Sungai Nil Mesir selepas Akademi Perahu Naga baru-baru ini telah dirasmikan di Kelab Diraja Mohamed Ali di wilayah Giza, sebahagian daripada Kaherah.
“Ini menjadikan Mesir dan China lebih dekat dan membolehkan kami menghantar pemain-pemain Mesir untuk menyertai perlumbaan bot naga di China dan mempelawa pasukan-pasukan Cina untuk datang ke sini di Mesir,” kata Ehab Gouda, pengasas bersama Akademi Perahu Naga Mesir.
“Kedua-dua suku bangsa akan menjadi lebih dekat melalui sukan, kasih sayang, saling hormat menghormati dan menjauhi segala isu-isu politik. Sukan membawa harapan kepada masyarakat di masa hadapan,” kata pengasas yang membawa sukan itu ke Mesir pada tahun lepas, memberitahu Xinhua.
Gouda telah bekerja keras untuk memperkenalkan perahu naga ini selepas dia berjaya menguasai sukan itu di Hong Kong dan Guangzhou sehingga festival perahu naga yang pertama telah berjaya diadakan pada bulan Oktober lepas.
Beliau kini melatih beberapa kumpulan pemain bagi persediaan perlumbaan di kemudian hari, di mana negara seperti Sepanyol, Cyprus dan negara-negara lain akan turut serta dalam festival yang diadakan nanti.


Kebanyakan pelatih yang melakukannya buat pertama kali, merasa teruja semasa mula-mula mengayuh bot naga itu, berada dalam dua barisan, dan cuba belajar untuk membuat kayuhan secara serentak mengikut rentak agar pergerakkan perahu itu lancar dan seimbang.
Mereka juga merasa seronok apabila satu pertandingan telah diadakan di akhir latihan mereka, di mana dua kumpulan pelatih yang berada di depan mengayuh ke hadapan dan manakala dua kumpulan yang berada di belakang ekor perahu naga itu akan mengayuh bertentangan. Ia menjadikan perahu tersebut bergerak ke hadapan dan ke belakang ketika menentukan pemenang.
Yehia Khair El-Deen, seorang pelatih dari kumpulan yang menang, berkata dia menyukai perahu naga yang mereka hasilkan antara daerah Manial Giza dan Kaherah Maadi semasa latihan itu, dan menyatakan bahawa ia adalah satu pengalaman pertamanya ketika membuat latihan di dalam perahu naga tersebut.
“Ia adalah suatu pemandangan yang menarik di Sungai Nil dan sukan ini adalah sangat cantik. Walaupun ia meletihkan otot-otot, namun ia adalah satu sukan yang sangat menyeronokkan,” kata pemuda, yang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional, memberitahu Xinhua.
Bagi Abeer Ali pula, seorang graduan universiti dan pengayuh perahu tersebut, berkata bahawa beliau sangat menyukai pengalaman pertamanya mengayuh perahu naga ini, menekankan bahawa sukan ini secara amnya telah menyatukan masyarakat, terutamanya dalam sukan air ini.
“Mengayuh di Sungai Nil ini membuatkan kami sentiasa berdepan dengan air, jadi saya percaya bahawa sukan perahu naga ini boleh tersebar dengan mudahnya di Mesir apabila ia cuba berhubungan dengan Sungai Nil,” jelas beliau, sambil menambah bahawa ia telah membawa masyarakat yang mempunyai tamadun lama (penggunaan sungai) seperti Mesir dan China menjadi lebih dekat.

Bagi Sayyid Diab, seorang jurulatih di Kelab Diraja Mohamed Ali dan seorang pemain perahu naga yang mahir yang kini mempunyai pengalaman selama enam bulan menyatakan bahawa beliau sangat menyukai perahu naga yang dianggap sebagai “permainan berpasukan,” kerana ia menggabungkan sukan dan perasaan santai serta membawa ahli pasukan saling mengenali antara satu dengan yang lain.
“Sejak ia memasuki Mesir, kami sebagai orang Mesir sangat menyukai perahu naga ini dan mula mengadakan perayaan. Kebanyakan daripada masyarakat Cina di Mesir juga mula menjinakan diri dalam sukan ini di sini. Saya mendapati masyarakat Cina sangat baik, mesra dan ramah seperti masyarakat Mesir,” Diab memberitahu Xinhua.
Lebih 100 negara mempunyai persekutuan perahu naga, termasuk China, Rusia, Itali, Jerman, Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Dalam negara Arab, Emiriah Arab Bersatu dan Lubnan mempunyai persekutuan bot naga mereka sendiri. Di Afrika, Nigeria, Cameron dan Afrika Selatan juga mempunyai sebuah persekutuan.
Pengasas Akademi Perahu Naga Mesir, yang telah dirasmikan oleh Duta Besar China ke Kaherah, Song Aiguo, pada pertengahan Disember tahun lepas, berkata usaha-usaha bagi mempromosikan sukan ini di beberapa kelab di Mesir ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Sukan Mesir bagi kelulusan dan sokongan untuk menubuhkan sebuah persekutuan perahu naga Mesir.
Mary Lai, pengasas akedemi dari Hong Kong yang telah menetap di Mesir selama lebih daripada 30 tahun, berkata bahawa festival perahu naga yang pertama diadakan adalah bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Mesir dan China.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat Mesir purba mempunyai bot yang sama tetapi mereka memanggilnya sebagai ‘perahu Pharaonic’, merujuk kepada persamaan antara budaya Mesir dan China.
“Akademi ini cuba memberi tunjuk ajar kepada masyarakat Mesir bagaimana untuk membuat latihan dengan perahu naga ini, tanpa mengira umur mereka, dan kami sedang mempersiapkan pasukan perahu naga Mesir untuk menyertai sebuah festival yang diadakan di China pada tahun 2018 nanti,” kata Mary. – Xinhua