Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
MENGIMBAU kembali nama-nama sungai yang terdapat di kawasan Bandar Brunei suatu ketika dahulu, hasil daripada peninggalan orang-orang terdahulu dan juga warga emas, menyatakan bahawa nama-nama sungai yang ada pada masa ini, khususnya di kawasan Bandar Brunei (kini Bandar Seri Begawan), sudah wujud sejak dari dahulu lagi.
Penulis masih ingat nama-nama sungai yang terdapat di perairan Sungai Brunei, antaranya ialah Sungai Luba, Sungai Tumasek, Sungai Pasir Putih, Sungai Parit, Sungai Kandang Batu, Sungai Lumadan, Sungai Lampai, Sungai Pintu Malim, Sungai Kedayan, Sungai Gadong, Sungai Belukut, Sungai Temiang, Sungai Kebun, Sungai Talang-Talang, Sungai Takuyung, Sungai Damuan dan banyak lagi.
Pada ketika itu, sungai adalah tempat kegemaran bagi warga emas untuk melakukan aktiviti menjala dan merambat ikan. Antara hasil yang diperoleh adalah seperti ikan bilis, pusu, udang dan lain-lain lagi. Keadaan sungai pada zaman dahulu sememangnya berbeza jika dibandingkan sekarang. Terdapat beberapa kawasan di kawasan perairan Sungai Brunei sudah tidak selamat untuk menangkap ikan oleh kerana keadaan air yang kotor.

