Oleh Normazlina M.D
SUNGAI Tutong yang terletak di Daerah Tutong kini menjadi salah satu tarikan pelancongan di dalam dan di luar negeri kerana kebersihannya serta mempunyai sejarah dan keunikkannya tersendiri.
Rombongan dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Awg Wardi bin Hj Mohammad Ali bersama beberapa agensi pelancongan tempatan terdiri daripada Sinar Tours, Pj Majestic, Royal Brunei dan Sunshine Brunei Tours and Travel, termasuklah Media telahpun membuat lawatan Menelusuri Sungai Tutong, baru-baru ini.
Sebelum ini, pelancong-pelancong luar negara yang datang ke negara ini, mahupun orang ramai, hanya dapat menelusuri Sungai Brunei melalui kapal layar khas yang disediakan.
Namun pada kali ini, Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong telah membuat inisiatif bagi mengenali Daerah Tutong, telah menyediakan beberapa pakej menarik dalam Destinasi Tutong. Antara pakej tersebut ialah ‘Menelusuri Sungai Tutong’ yang akan dikenalkan kepada pelancong-pelancong negara luar dan orang Brunei pada masa terdekat ini nanti.
Lawatan menelusuri Sungai Tutong
Dengan mercu tanda ‘Sungai Tutong’ sudah pasti menarik orang ramai terutama pelancong-pelancong luar negara dan orang ramai untuk mendekati serta meninjau apa yang ada di Sungai Tutong.


Sebelum rombongan turun menuju ke kapal pelancongan yang disediakan, rombongan terlebih dahulu berkumpul di Jeti Sungai Tutong untuk mendapatkan sedikit taklimat dan penerangan mengenai menelusuri Sungai Tutong oleh Pegawai-pegawai Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.
Rombongan telah memulakan lawatan dari jeti Sungai Tutong ke Lurah Saban di Kampung Suran iaitu tempat di mana masyarakat dahulu menggunakan Jalan Sungai sebagai laluan mereka.
Rombongan kemudiannya dibawa melawat dengan menyaksikan lebih dekat mercu tanda Sungai Tutong yang menjadi tarikan pengunjung dan seterusnya menuju ke Jambatan Serambangun Tutong. Sebelum menuju ke Jambatan Serambangun, rombongan mengenali Anjong Siuntak yang mana kisah Anjong Siuntak ini serupa dengan kisah Nakhoda Manis.
Rombongan juga berpeluang menyaksikan pondok-pondok kayu tersusun di tepi Sungai Tutong (berhampiran dengan Jambatan Serambangun) kerana di sanalah tempat penduduk-penduduk sekitarnya menangkap ikan dan udang galah, dan berkesempatan menyaksikan beratus-ratus burung layang-layang terbang berhampiran Jambatan Serambangun.
Rombongan seterusnya berkesempatan menyaksikan Keindahan Kampung Penabai/Kuala Tutong dan Pantai Seri Kenangan yang mana lawatan tersebut dapat menyaksikan gabungan Sungai Tutong bertemu Pantai Seri Kenangan.
Menerusi lawatan tersebut, rombongan juga dapat menyaksikan jeti Kampong Penabai/Kuala Tutong dan jeti Kampung Danau yang mana dahulunya digunakan sebagai penghubung jalan menuju ke Daerah Kuala Belait sebelum jalan raya wujud.
Selama hampir 20-30 minit lawatan menelusuri Sungai Tutong, rombongan telahpun mengakhiri lawatan di Perusahaan Seri Melati di Kampong Penabai/Kuala Tutong bagi menyaksikan secara dekat pembinaan perahu, kapal mahupun perabot-perabot.


Matlamat lawatan
Dengan adanya lawatan bersama agensi-agensi pelancongan di Negara ini, ia akan dapat membantu ejen-ejen pelancongan di negara ini mempunyai pengalaman yang baik serta dapat membina pengetahuan produk dengan persekitaran yang berbeza dan perubahan dalam pasaran.
Lawatan tersebut juga memberi peluang kepada ejen-ejen pelancongan untuk memberikan tawaran pakej yang lebih baik dalam mempelbagaikan pasaran pelancongan disamping dapat mempromosikan acara-acara kemasyarakatan, serta menjadikan Destinasi Tutong sebagai pilihan oleh pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam pelancongan.
Lawatan itu juga merupakan peluang bagi Jabatan Perkembangan Pelancongan untuk merujuk balik pakej Festival Brunei Disember (Brunei December Festival) yang akan diadakan pada bulan Disember ini nanti, yang mana Daerah Tutong merupakan salah satu tempat acara festival itu diadakan.
Mencapai Wawasan Brunei 2035
Melalui pakej ‘Menelusuri Sungai Tutong’ yang diperkenalkan ini dan beberapa acara yang melibatkan Sungai Tutong menerusi Festival Brunei Disember ini nanti, ianya akan dapat membukakan peluang-peluang perniagaan dan kerjasama yang erat bersama pelbagai pihak berkepentingan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan.
Dalam hal ini, ia juga akan dapat melaksanakan visi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ke arah pertumbuhan pesat keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan sehingga mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi demi mencapai Wawasan Brunei 2035.