Oleh Ak Zaki Kasharan
Memancing di sungai merupakan salah satu kegemaran masyarakat di negara ini sejak turun temurun lagi disebabkan struktur kedudukan geografi negara ini yang dikelilingi perairan sungai dan laut.
Antara lokasi yang kerap kali menjadi tumpuan penggemar riadah pancing di negara ini ialah di sepanjang perairan Sungai Tutong. Lokasinya yang juga terletak berdekatan jalan raya turut memudahkan para pengunjung datang ke sana.
Apa yang menarik lagi ialah lokasinya yang terletak berhampiran kedai dan restoran juga menjadi faktor meningkatnya bilangan pengunjung di sana. Lazimnya para pemancing akan berkunjung ke sana di sebelah petang dan bilangan pengunjungnya akan meningkat menjelang waktu malam.
Demi memastikan keadaan para pengunjung dan pemancing di sana dalam keadaan selamat, beberapa langkah keselamatan turut dipasang di sekitar persisiran sungai Tutong tersebut seperti besi penghalang bagi mengelakkan para pengunjung terjatuh ke sungai.
Memandangkan kawasan sungai tersebut mempunyai banyak kehidupan haiwan liar seperti buaya yang boleh saja menyebabkan kekacauan dan kepanikan di kalangan para pengunjung di sana, beberapa papan tanda peringatan turut dipasang pada besi penghalang yang terdapat di kawasan berkenaan.
Selain itu turut disediakan ialah beberapa buah bangku untuk kemudahan para pengunjung di sana.
Pemandangan air tenang berlatar belakangkan hutan bakau yang terbentang berdepanan dengan jalan raya menambah seri dan keindahan alam semula jadi sama ada di sebelah siang dan malam hari.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai lokasi spot memancing berkenaan, para pembaca bolehlah menantikan keluaran segmen pancing pada minggu hadapan.
