Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Tarindak D’Seni tahun ini sekali lagi mengadakan bufet sungkai dengan pilihan pelbagai jenis makanan untuk kepuasan para pelanggannya di restorannya di Bandar Seri Begawan.
Pelanggan yang memilih bersungkai di sini bukan sahaja dapat menjamu selera dengan pelbagai makanan yang menyelerakan, malahan menyaksikan keindahan Sungai Brunei.
Pengurus Perancangan Perniagaan Tarindak D’Seni, Awang Idris Ahmad mengatakan pelanggan boleh menikmati juadah sambil menenangkan fikiran melihat khazanah negara dan pemandangan Kampong Ayer.
Menurutnya, restoran itu kini boleh menerima pelanggan dengan lebih banyak lagi memandangkan ruang dewan utama sudah dibukakan. Untuk itu, ia menawarkan barisan juadah tempatan dan antarabangsa yang menjadi kegemaran pengunjung.
Selain itu, ia turut mengekalkan konsep pondok yang menawarkan pondok Ambuyat, sate, mi, sup, ABC dan makanan pencuci mulut seperti bertih jagung dan gulali yang bukan sahaja diminati golongan kanak-kanak, malahan orang dewasa.
