(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan minggu lepas
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala juga ada menerangkan sunnah-sunnah penting ketika mensyarahkan sebuah hadits yang sama seperti di atas dari Shahih Muslim, yang berbeza dari segi sanadnya iaitu diriwayatkan dari Jarir Radhiallahu ‘anhu:
Dan dalam hadits ini terdapat tiga sunnah yang penting dan sangat digalakkan, (namun) bukan wajib, iaitu:
Pertama; Berwudhu ketika hendak tidur. Jika pada ketika itu dia masih dalam keadaan berwudhu maka memadailah wudhunya itu (tidak perlu untuk berwudhu lagi). Sebab, yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah tidur dalam keadaan suci, kerana ditakuti seseorang itu kematiannya datang ketika dia sedang tidur, dan (dengan wudhu itu) akan lebih membenarkan mimpinya, dan dapat menjauhkan dirinya daripada dipermainkan oleh syaitan dalam tidurnya, dan menjauhkan dirinya daripada perbuatan syaitan yang menakut-nakutkannya.
Kedua; Tidur di atas rusuk sebelah kanan, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suka mendahulukan sebelah kanan, dan kerana ia (tidur atas rusuk sebelah kanan) lebih cepat untuk bangun (dari tidur).
Ketiga; Mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya ia menjadi penutup amalannya.
Dari hadits tersebut, dapat disimpulkan bahawa kelebihan berwudhu sebelum tidur itu adalah seperti berikut:

1. Sebagai persiapan untuk kematian dengan mensucikan diri dan hati.
2. Dikurniakan mimpi yang benar dan bukan dari mainan syaitan.
3. Mendapat perlindungan supaya dijauhkan daripada syaitan.
4. Mententeramkan diri.
Begitulah antara kelebihan tidur dalam keadaan berwudhu. Sepertimana kita dianjurkan untuk berwudhu ketika hendak tidur, maka memelihara wudhu dan menjaganya ketika jaga juga adalah dianjurkan oleh syara‘.
MEMBACA AL-QUR’AN DALAM KEADAAN BERWUDHU ADALAH ADAB YANG MULIA
Membaca al-Qur’an adalah satu amalan yang sunat dilakukan bagi setiap orang Islam dan setiap peringkat umur.
Setiap ayat, bahkan setiap huruf yang kita baca sudah pasti akan dibalas oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sebaik-baik ganjaran.
Membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil adalah dibolehkan dan tidak berdosa dengan ijma‘ para muslimin, akan tetapi membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu hukumnya adalah sunat dan ia merupakan satu adab ketika membaca al-Qur’an.
Adapun membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats besar, hukumnya adalah haram walaupun hanya satu ayat.
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala dalam kitabnya At-Tibyan Fi Adab Hamlah al-Qur’an telah menerangkan mengenai adab membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu di bawah bab “Adab al-Qur’an”.
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala berkata:
Disunatkan seseorang itu membaca (al-Qur’an) dalam keadaan dia suci, jika dia membaca dalam keadaan berhadats kecil, ianya dibolehkan dengan ijma‘ para muslimin, dan hadits-hadits mengenainya (membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil) banyak dan sudah diketahui.
Imam al-Haramain berkata: Dan tidaklah dia (ketika membaca al-Qur’an dalam keadaan berhadats kecil) dikatakan telah membuat sesuatu yang makruh, bahkan dia hanya meninggalkan sesuatu yang afdhal (iaitu membaca al-Qur’an dalam keadaan berwudhu), jika dia tidak mendapati air (untuk berwudhu), maka bolehlah dia bertayammum.
Selain daripada membaca al-Qur’an, terdapat banyak lagi amalan-amalan yang disunatkan melakukannya dalam keadaan berwudhu, namun tidak mengapa jika melakukannya dalam keadaan tidak berwudhu.
Amalan-amalan tersebut adalah seperti memasuki masjid dan duduk beri‘tikaf di dalamnya, mempelajari sesuatu ilmu atau menghadiri suatu majlis ilmu, mempelajari hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan meriwayatkannya, melaungkan azan, sa‘i di antara Shafa dan Marwah, wuquf di ‘Arafah dan menziarahi maqam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Tambahan lagi, amalan membaca al-Qur’an adalah satu bentuk zikir, hatta membaca al-Qur’an itu sendiri dikatakan sebagai zikir yang paling afdhal dilakukan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak suka untuk berzikir dalam keadaan berhadats walaupun Baginda membolehkannya.
Diriwayatkan dari al-Muhajir bin Qunfudz Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya beliau pernah menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda (pada ketika itu) sedang membuang air kecil, maka beliau mengucapkan salam ke atas Baginda, namun Baginda tidak menjawab salamnya sehinggalah Baginda berwudhu, kemudian Baginda
meminta maaf seraya bersabda yang maksudnya:
Sesungguhnya saya tidak suka menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala (berzikir kepadaNya) kecuali dalam keadaan yang suci (dari hadats), atau Baginda bersabda dalam keadaan yang bersih.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Jelas daripada hadits di atas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih suka untuk menjawab salam ketika Baginda dalam keadaan yang suci.
Baginda tidak menjawab salam semasa membuang air kecil atau sebelum berwudhu kerana Baginda menginginkan yang lebih mulia iaitu menjawabnya dalam keadaan yang suci daripada hadats dan kotoran.
Membaca al-Qur’an atau berzikir secara umumnya adalah sunat dan lebih afdhal diamalkan dalam keadaan yang sempurna, iaitu suci daripada hadats kecil dan hadats besar, dan mulut yang bersih daripada segala kotoran.
TERUS BERWUDHU SETELAH BERHADATS
Satu sikap yang hebat yang perlu dicontohi ialah sikap yang sentiasa dipraktikkan oleh Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu iaitu sikap sentiasa mmelihara wudhu dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu.
Menurut satu riwayat daripada ‘Abdullah bin Buraidah dari bapanya Radhiallahu ‘anhuma telah meriwayatkan, bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memanggil Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda yang maksudnya:
Wahai Bilal, dengan amalan apa engkau dapat mendahuluiku di Syurga? Sesungguhnya aku telah memasuki Syurga kelmarin, maka aku telah mendengar bunyi tapak sandalmu di depanku.
Maka Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu menjawab memberitahu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam amalan yang dilakukannya:
Wahai Rasulullah, tidaklah aku melaungkan azan kecuali setelah itu aku sembahyang sunat dua raka‘at, dan tidaklah aku ditimpa hadats kecuali setelah itu aku terus berwudhu dan aku berpendapat sesungguhnya Allah telah menetapkan ke atasku sembahyang sunat dua raka‘at (lalu aku pun sembahyang sunat dua raka‘at kerana wudhu tersebut). Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Dengan dua ini”.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut al-Imam al-Hafizh al-Mubarakfuri Rahimahullah Ta‘ala ketika mensyarahkan hadits ini, amalan yang menyebabkan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu dapat mendahului Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki syurga adalah kerana salah satu dari tiga amalan tersebut:
1. Memelihara wudhu, dan terus mengambil wudhu jika terbatal dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu. (Ini yang lebih diterima oleh al-Imam al-Hafizh al-Mubarakfuri Rahimahullah Ta‘ala)
2. Sembahyang sunat selepas azan, dan sembahyang sunat wudhu.
3. Sembahyang sunat selepas azan, memelihara wudhu, dan terus mengambil wudhu jika terbatal dan melaksanakan sembahyang sunat wudhu.
Adapun maksud hadits bahawa Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu mendahului Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki syurga bukanlah dari segi zahirnya.
Ini adalah kerana Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu adalah khadam atau pembantu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan pada kebiasaannya di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, khadam selalu berjalan di hadapan tuannya.
Hadits ini juga menerangkan tentang kelebihan amalan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu, sehingga dengan amalan tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam mimpinya telah dapat mendengar pergerakan sandal Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhu di dalam syurga.
Mimpi para Nabi pula adalah wahyu dan benar. Adapun kenyataan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki syurga adalah bermaksud ketika Baginda tidur.