Friday, April 18, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suntik semangat belia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Regata Brunei 2019 diharap akan dapat menyuntik semangat para belia dan juga agensi-agensi lain, bukan saja kementerian-kementerian yang berkenaan, untuk bergiat aktif bagi mempertingkatkan lagi prestasi negara dalam acara regata.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong juga menaruh harapan bahawa acara regata berkenaan tidak sahaja diadakan setahun sekali, tetapi juga akan diambil inisiatif oleh agensi-agensi lain.

    Umpamanya, tambah beliau, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) juga mengadakan regata yang dianjurkan oleh mukim dan kampung dalam skala yang lebih kecil setiap tahun, tetapi ia dengan sendirinya menjadi satu acara yang dapat memberikan semangat bagi meneruskan kegiatan bersukan.

    “Demikian juga, kita dalam KHEDN akan mengadakan regata di Daerah Belait dalam bulan September ini dan berharap ia juga akan dapat disertai oleh ramai peserta,” tambah beliau semasa ditemui semasa Regata Brunei 2019 yang diadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 di ibu negara, hari ini.

    Terdahulu itu, beliau berkata bahawa acara regata tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kalangan belia kerana sebahagian besar daripada 12 acara yang dijalankan disertai oleh belia-belia.

    “Umpamanya kita sudah dapat menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menengah menyertai, demikian juga institusi-institusi pengajian tinggi dan juga belia-belia sendiri,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa ditemu bual media, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda