Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Belia, Bahagian Imarah dengan kerjasama Ashabul Halim, Kumpulan Belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Belia Masjid Senegara bagi Menghindari Wabak Pandemik COVID-19 yang julung kalinya diadakan secara maya.
Turut serta selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Hadir sama ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid serta ahli-ahli kumpulan belia masjid seluruh negara.
Antara tujuan acara berkenaan adalah untuk menyuntik semangat cinta kepada Al-Quran dan beramal dengannya, selain untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli kumpulan belia masjid seluruh negara.
Majlis juga dihasratkan untuk menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan ke arah sebuah Negara Zikir sekali gus memohon ke hadrat IIahi agar negara terselamat daripada segala penyakit termasuk wabak pandemik COVID-19 yang melanda pada masa ini.
