Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bagi sama-sama menyuntik semangat patriotik serta memberigakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 tahun 2019, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Khas Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 Tahun 2019 bagi warga kementerian, hari ini.
Perhimpunan yang diadakan di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) itu telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat majlis.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan diserikan dengan Forum Rancangan Strategik Tahun 2020-2024.
Pengerusi bersama majlis, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Amir Hisham bin Haji Masri menjelaskan bahawa forum berkenaan bertujuan untuk memberigakan rancangan strategik KHEU dan pencapaian sehingga kini bagi tempoh pelaksanaan 2015-2019.
Di samping itu juga untuk memberigakan perancangan penyediaan rancangan strategik KHEU bagi tempoh 2020-2024 dengan mengaitkan isu dan cabaran yang dihadapi dalam menuju mencapai Wawasan 2035.

Forum tersebut menyentuh tiga fokus strategi utama dalam perancangan strategik akan datang iaitu pendidikan agama berkesan, dakwah mantap dan jaminan kesihatan dan kesejahteraan sosial.
Selain itu, tambah beliau, forum berkenaan juga dihasratkan akan dapat meningkatkan kesedaran warga KHEU dan bagaimana setiap pegawai dan kakitangan dapat menyumbang ke arah menjayakan pencapaian Rancangan Strategik KHEU.
Forum berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Pemakanan, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Abang Muhammad Masrur bin Abang Haji Zainuddin manakala itu, ahli-ahli panelnya terdiri daripada Pegawai Ugama Kanan, Pejabat Setiausaha Tetap, Hajah Omi Kalsum binti Haji Mohd Noor; Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar; Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dan Pegawai Pelajaran, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Haji Aziman bin Haji Zaman.
Sebagai salah satu langkah pemberigaan, ahli-ahli panel juga menyentuh mengenai petunjuk prestasi utama yang telah terpilih bersama dengan cadangan inisiatif-inisiatifnya.
Perhimpunan diserikan dengan persembahan pentas bertajuk ‘Benderaku Negaraku’ yang disampaikan oleh Kumpulan Nadi Pementasan Drama yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Selain menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, majlis itu juga berobjektif sebagai platform bagi KHEU memberigakan maklumat-maklumat mengenai pencapaian dan usaha-usaha yang perlu ditingkatkan bagi mencapai visi dan misi Kementerian dan seterusnya menuju matlamat Wawasan 2035.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar’ Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Awang Serudin bin Haji Timbang.