TEMBURONG, 30 Jan – Usaha ke arah menyemai sikap kekitaan dalam kalangan para remaja semakin giat dilaksanakan, ini dapat dilihat dengan penganjuran Program Rakan Remaja Penerangan dengan kerjasama Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Bangar di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar kelmarin, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kluster Satu, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hamidah binti Haji Daud.
Turut hadir ialah pengetua sekolah menengah berkenaan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia, ahli-ahli Jawatankuasa Program Rakan Remaja Penerangan, guru-guru dan para penuntut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, acara telah dimulakan dengan menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’ beramai-ramai kemudian diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh penuntut Tahun 9A, Awang Mirza Hazimy bin Helmy.
Majlis mendengarkan ucapan daripada Awang Abdul Wafi Sia sebelum program diisi dengan taklimat kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Pengiran Arsul bin Pengiran Haji Abdul Momin.

Para penuntut seterusnya berpeluang menyaksikan tayangan klip-klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ serta video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara.’
Acara turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Tausyeh dan drama oleh penuntut SMSH bertajuk ‘A Pirate’s Tale’ di samping dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh juara Bintang Penerangan, persembahan lawak jenaka dan diikuti dengan Kuiz Kenegaraan.
Program antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif dan untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.
Selain itu, ia juga akan dapat menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan pelajar sebagai ejen penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.