Sunday, February 2, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suntikan semangat seni perluaskan kemahiran anak tempatan

    Oleh Lenna N.B.

     

    KELIHATAN imej seorang gadis yang cantik dikelilingi dengan bunga-bunga teratai merah jambu yang mekar. Burung biru duduk tenang di atas bahunya seakan melihat tepat kepada khalayaknya. ‘Lunbawang’, mungkin itulah namanya.

    Imej wanita yang dihidupkan secara visual oleh Susannah Sitai Liew @ Susannah Anak Rogo, menggambarkan seorang wanita yang lengkap berpakaian tradisi Murut.

    Etnik yang sekian lama bertapak di Brunei, terutamanya di Daerah Temburong, dan lain-lain kawasan Borneo yang merangkumi Sabah, Kalimantan Utara, dan Sarawak.

    “Melalui pameran ini, pelukis-pelukis kita atau artis-artis kita berpeluang untuk mempamerkan karya-karya mereka yang bertemakan budaya, warisan tradisi, semangat kecintaan pada negara dan bangsa, khazanah kita, keindahan flora dan fauna, serta apa sahaja berkenaan dengan Brunei. Disebalik karya-karya mereka itu, sebenarnya terselit ketulenan semangat dan identiti keBruneian,” ucap Haji Mahaddi bin Haji Mat Zain, yang dikenali dengan nama penanya Adizain, Pengerusi Bersama Pameran Inspirasi Gagasan Seni, anjuran Kolej IGS Brunei Darussalam, dan Angkatan Pelukis Brunei.

    Sekilas Latar Pameran

    Sejumlah 70 karya seni telah dipamerkan dengan penglibatan 28 orang artis, termasuklah antara tiga ke empat orang pelukis daripada pelajar Kolej IGS.

    Para artis-artis Pelukis Angkatan Brunei bersama CEO Kolej IGS, Pengiran Dr. Hajah. Fatimah di hadapan galeri seni Kolej IGS.
    Para artis-artis Pelukis Angkatan Brunei bersama CEO Kolej IGS, Pengiran Dr. Hajah. Fatimah di hadapan galeri seni Kolej IGS.
    Ketua Fakulti Seni dan Kemanusiaan Kolej IGS, Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof.
    Ketua Fakulti Seni dan Kemanusiaan Kolej IGS, Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof.
    Sekitar Pameran Inspirasi Gagasan Seni.
    Sekitar Pameran Inspirasi Gagasan Seni.
    Haji Mahaddi bin Haji Mat Zain, Pengerusi Bersama Pameran Inspirasi Gagasan Seni.
    Haji Mahaddi bin Haji Mat Zain, Pengerusi Bersama Pameran Inspirasi Gagasan Seni.
    Ketua Bahagian Multimedia dan Penyiaran Kolej IGS, Haji Nor Hasnul bin Haji Mohd. Hamdani.
    Ketua Bahagian Multimedia dan Penyiaran Kolej IGS, Haji Nor Hasnul bin Haji Mohd. Hamdani.

    Pameran yang berlangsung di Galeri Seni Kolej IGS, Kiulap itu dirasmikan oleh CEO Kolej, Pengiran Dr. Hajah. Fatimah, pada 17 Mei lepas. Uniknya, pameran ini menggabungkan artis-artis yang sudah lama berkecimpung di bidang ini dengan artis-artis muda di mana ia jelas menunjukkan komuniti seni yang kian berkembang dari masa ke semasa.

    Antara tujuan utama pameran adalah untuk memberikan peluang dan ruang kepada artis-artis tempatan berkarya dan mempamerkan hasil tangan mereka kepada khalayak umum. Justeru, generasi belia dan penuntut-penuntut seni, berpeluang untuk menyaksikan karya-karya artis yang telah menempa nama di industri ini, sebagai bahan rujukan mereka, malah penyuntik semangat untuk terus berkarya.

    “Manakala pelajar-pelajar Kolej IGS yang terpilih untuk turut sama dalam pameran ini adalah penilaian berdasarkan hasil kerja mereka yang cemerlang, termasuklah yang disokong oleh tenaga pengajar mereka, yang memang menyaksikan kebolehan dan kekuatan karya-karya mereka, yang boleh bergerak jauh di bidang ini, malah setanding dengan artis-artis seni tanahair,” tambah Haji Mahaddi.

    Artis-artis yang terlibat dalam pameran adalah Pengiran Timbang bin Pengiran Tuah, Pengiran Omarali bin Pengiran Haji Mahari, Haji Matayir Amin, Haji Fadil bin Haji Ahmad, Haji Tarip bin Haji Ladis, Dato Shofry Abdul Ghafor, Haji Osman Mohammad, Haji Dayang bin Haji Mutalib, Haji Abd. Malik bin Haji Metarsad, Haji. Yussof bin Haji Mat Zain, Dr. Zakaria bin Haji Hamid, Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof, Kassim Ismail, Osman Haji. Bakir, Ajihis Haji Terawih, Pengiran Kamarulzaman bin Pengiran Haji Tajuddin, Haji Rosli bin Haji Kadir, Abdul Rahman Ahmad, Anuar Minggas, Alias Asat, Faiz Morshidi, Muhammad Abdul Wafi bin Haji Mat Salleh, Adizain, Susannah Liew Sitai, Nurhusna Faizah, Dayangku Sharifah Ellena binti Pengiran Timbang, Haji Bahrin bin Haji Bolhassan dan Muhammad Yusran bin Saugi.

    Seni untuk masyarakat

    “Setelah berkecimpung di bidang ini, karya yang dihasilkan bukan sekadar lukisan di atas kanvas, atau persembahan dalam lukisan, tetapi bagaimana cara kita berfikir untuk memanfaatkannya kepada kehidupan dan menyumbang kepada masyarakat. Bidang ini, boleh membuka jalan kepada pelbagai perkara, sama platform perniagaan, membentuk pekerjaan, atau aktiviti kebajikan. Semuanya terletak kepada kreativiti si pengkarya itu sendiri. Malah, melalui seni dapat membentuk wajah dan mewarnai Bandar Brunei.”

    Sekitar pelancaran pameran Inspirasi Gagasan Seni pada 17 Mei lalu.
    Sekitar pelancaran pameran Inspirasi Gagasan Seni pada 17 Mei lalu.
    Gadis Lunbawang, karya Susannah Sitai Liew @ Susannah Anak Rogo.
    Gadis Lunbawang, karya Susannah Sitai Liew @ Susannah Anak Rogo.
    Masjid Kampung Tamoi, karya Haji Rosli bin Haji Kadir, yang dipamerkan di Pameran Inspirasi Gagasan Seni, Kolej IGS.
    Masjid Kampung Tamoi, karya Haji Rosli bin Haji Kadir, yang dipamerkan di Pameran Inspirasi Gagasan Seni, Kolej IGS.
    Seni arca karya Faiz Morshidi.
    Seni arca karya Faiz Morshidi.

    Susunan struktur bangunan yang indah memerlukan kemahiran seni, penglibatan dalam dunia fesyen juga sebahagian dari seni, begitu juga perabot-perabot yang menghiasi ruang tamu rumah kita terhasil dari minda seni. Ringkasnya, hampir apa sahaja dalam kehidupan seharian kita mempunyai kaitan dengan seni. Ini cukup membuktikan bidang seni itu luas, dan melalui seni, terbentuk karier pelbagai bidang, malah peluang pekerjaan yang cerah dan menguntungkan.

    “Namun semua itu, hanya dapat diperolehi dengan adanya kreativiti yang mempelbagaikan kegiatan seni dan sokongan pelbagai pihak. Saya percaya, banyak pelajar-pelajar seni dari institusi tinggi sedang mencari pekerjaan atau menganggur kerana tidak ada tempat untuk mereka. Walhal sebenarnya, banyak bidang yang mereka boleh ceburi. Yang penting, terletak kepada kita, bagaimana kita melihat seni itu luas. Terletak kepada persepsi kita mengubah anggapan yang sempit terhadap seni,” tambah Ketua Bahagian Multimedia dan Penyiaran Kolej IGS, Haji Nor Hasnul bin Haji Mohd. Hamdani.

    Kolaborasi bersama Kolej IGS dan Angkatan Pelukis Brunei adalah satu platform dan usaha untuk mengangkat seni di tanahair.

    Lebih banyaknya penglibatan institusi-institusi pendidikan kerajaan dan swasta, atau persendirian, seni di tanahair dapat berkembang lebih jauh, malah sumbangannya terhadap masyarakat juga dapat diangkat.

    Begitu juga dari segi mempelbagaikan ekonomi negara dengan tercetusnya ruang pekerjaan seni yang luas.

    Peluang untuk pelajar

    Kursus Fine Arts (Seni Halus), baru sahaja diperkenalkan di Kolej IGS sekitar tahun lalu, membuka peluang kepada pelajar-pelajar yang pencapaian akademiknya agak lemah untuk memperkembangkan karier mereka.

    Dalam bidang seni dan kreatif, Kolej IGS secara rasminya mempunyai rangkaian dengan Universiti Malaysia Sabah dan Lim Kok Wing University of Creative Tecnology, untuk melaksanakan kursus tersebut di kolej dan mendapat sijil rasmi yang diiktiraf oleh institusi tersebut. Dengan ini, pelajar-pelajar dapat meneruskan pendidikan mereka hingga ke peringkat ijazah.

    Lakaran yang membawa kita mengimbas kembali sekitar tahun 1970an-1980an, ketika Padian masih mewarnai Kampong Ayer, karya Dr. Malai sendiri dengan nama penanya, ‘Noh’.
    Lakaran yang membawa kita mengimbas kembali sekitar tahun 1970an-1980an, ketika Padian masih mewarnai Kampong Ayer, karya Dr. Malai sendiri dengan nama penanya, ‘Noh’.
    Lakaran akrilik Kampung Batu Marang, karya Abdul Rahman Ahmad.
    Lakaran akrilik Kampung Batu Marang, karya Abdul Rahman Ahmad.
    Bunga Cempaka hasil karya Haji Dayang bin Haji Mutalib.
    Bunga Cempaka hasil karya Haji Dayang bin Haji Mutalib.
    ‘Spirit of Bougainvillea’ hasil lakaran Faiz Morshidi.
    ‘Spirit of Bougainvillea’ hasil lakaran Faiz Morshidi.

    “Tujuan kolej ini memperkenalkan subjek tersebut, sebenarnya adalah sebagai cara untuk mereka membentuk karier, mengurangkan masalah pengangguran dan melihat seni untuk memperkembangkan ekonomi negara. Untuk jangka masa panjang kami, ingin melihat industri kreatif maju di negara ini,” jelas Ketua Fakulti Seni dan Kemanusiaan Kolej IGS, Dr. Malai Yunus bin Malai Yusof.

    Menurut beliau, di kolej itu, pelajar-pelajar telah menjalani proses pembelajaran yang merangkumi 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori.

    Melalui praktikal, mereka lebih banyak menggunakan kreativiti dan kemahiran di mana membantu ke arah masa depan pekerjaan mereka nanti.

    “Sudah tiba masanya, kita memusatkan pemerhatian di bidang ini, kerana bidang ini boleh membawa mereka ruang pekerjaan secara global.

    Jika, artis-artis luar negara telah berjaya menggangkat ekonomi negara mereka, maka artis-artis kita pun tidak kurang hebatnya asal mendapat tempat dan sokongan yang betul.

    Semua pihak mesti berkerjasama, persepsi perlu berubah, seni untuk masyarakat, seni untuk negara dan bangsa,” tambah Dr. Malai Yunus di hujung temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda