Oleh Hajib Sarhan –
Sup Miso Jepun merupakan salah satu sajian yang paling mudah disediakan dan penuh dengan khasiat.
Sup ini terkenal sebagai hidangan tradisional yang sering dinikmati oleh masyarakat Jepun, dan sesuai dijadikan sebagai pelengkap hidangan utama seperti nasi.
Sup ini bukan sahaja cepat disediakan, bahkan hanya memerlukan empat hingga lima bahan asas sahaja, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang ingin makan sihat tanpa perlu bersusah payah di dapur.
Apa yang menjadikan sup ini istimewa ialah pes miso itu sendiri, yang mengandungi mikroorganisma baik berfungsi sebagai sumber probiotik.
Ini sangat membantu dalam menjaga kesihatan usus serta sistem penghadaman. Mereka yang mengalami masalah sembelit digalakkan untuk mengamalkan pengambilan sup miso sebagai rutin harian.
Kaedah umumnya, satu mangkuk sup (sekitar 200 hingga 250ml) memerlukan satu sudu besar pes miso.
CARA PENYEDIAAN
Untuk menyediakan sup ini, mula-mula sediakan semua bahan. Didihkan air bersama serbuk dashi di dalam periuk atas api sederhana dan kacau sehingga dashi larut sepenuhnya. Setelah air mendidih, tutup api dan biarkan selama dua minit.
Kemudian, ambil sedikit sup ke dalam senduk atau mangkuk kecil dan larutkan pes miso di dalamnya. Penting untuk diingat, pes miso tidak boleh dimasak pada suhu tinggi kerana ia boleh merosakkan bakteria baik yang terdapat dalam pes tersebut serta menjejaskan rasa umami.
Selepas pes miso larut sepenuhnya, masukkan semula ke dalam periuk sup dan kacau sehingga sebati.
Akhir sekali, tambahkan tauhu lembut yang telah dipotong dadu dan rumpai laut kering (wakame) ke dalam sup. Jika ada, taburkan juga hirisan daun bawang untuk menambahkan rasa dan aroma. Sup Miso Jepun kini sedia untuk dihidang – ringkas, berkhasiat dan enak!
Bahan-Bahan (Untuk Seorang):
• 200 ml air bersih
• 1 sudu kecil serbuk dashi
• 1 sudu besar pes miso
• Secukupnya cendawan Enoki
• Secukupnya tauhu lembut
• Secukupnya rumpai laut kering