Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Super Garuda Shield’: 12 negara sertai latihan tentera di Indonesia

    JAKARTA, 25 OGOS – Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini memulakan latihan ketenteraan bersama yang akan berlangsung lebih seminggu.

    Latihan berkenaan melibatkan penyertaan sekutu dari 11 negara dengan tujuan memastikan kestabilan di rantau Asia Pasifik.

    Latihan tahunan dinamakan ‘Super Garuda Shield’ itu diadakan di Jakarta serta beberapa lokasi lain di pulau Sumatera dan Kepulauan Riau sehingga 4 September.

    Lebih 4,100 anggota tentera Indonesia dan 1,300 tentera AS mengambil bahagian, bersama pasukan dari Australia, Jepun, Singapura, Perancis, New Zealand, Britain serta negara-negara lain.

    AS dan beberapa sekutunya, termasuk Australia, sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pengaruh dan tindakan agresif China di Pasifik.

    Samuel Paparo (enam kanan) berganding bahu dengan peserta lain semasa majlis perasmian Super Garuda Shield 2025 di Kolej Komando dan Staf Tentera Laut di Jakarta, kelmarin. – AFP

    Namun Washington menegaskan latihan berkenaan bukan ditujukan secara khusus kepada Beijing.

    Komander Indo-Pasifik AS, Samuel Paparo berkata latihan tahun ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan dalam sejarah ‘Super Garuda Shield’ dan mampu memperkukuh keupayaan negara peserta untuk meningkatkan pencegahan.

    “Ia bertujuan mencegah mana-mana pihak yang cuba mengubah fakta di lapangan dengan keganasan, melalui tekad kolektif semua peserta untuk mempertahankan prinsip kedaulatan,” katanya pada majlis perasmian, hari ini.

    “Kami melakukannya dengan meningkatkan kemahiran setiap hari dalam semua domain…supaya jika tiba keadaan tegang dan kami memerlukan antara satu sama lain sebagai rakan, kami boleh segera bekerjasama berasaskan kepercayaan mendalam,” tambahnya.

    Menurut tentera Indonesia, program latihan meliputi simulasi di peringkat kakitangan, latihan pertahanan siber serta acara tembakan hidup. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda