PEMINAT muzik K-pop terutamanya warga Indonesia meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan persembahan Super Junior (gambar) di acara penutup Sukan Asia 2018 yang bakal berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Barat, Indonesia pada 2 September depan.
Menurut portal berita Liputan 6, Super Junior bakal berkongsi pentas dengan satu lagi kumpulan popular iaitu iKon.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Kreatif Sukan Asia 2018, Wishnutama Kusubandiro.
“Dalam acara penutup itu nanti akan ada penyanyi dari Korea Selatan iaitu Super Junior dan iKon, manakala penyanyi lain dari Indonesia ialah Isyana Sarasvati, Gigi, Denada, Siti Badriah, Bunga Citra Lestari dan lain-lain,” katanya.
Rata-rata pengguna Twitter berkongsi berita gembira itu sehingga ia menjadi trending di aplikasi sosial tersebut.
“Tak sabar nak menonton acara penutup sebab nak tengok Super Junior secara langsung bukan di Youtube atau televisyen lagi.
“Yeahhh… dapat jumpa idola saya iaitu Super Junior di acara penutup Sukan Asia ini, harus dapatkan tiket segera!,” tulis peminat.