BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Super Smasher dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kampong Ayer, Zon 1 dan Malam Misi Platform Belia (MMPB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Kotak Sumbangan bagi Super Smasher Racket Donation Drive bertemakan Serving Smiles, One Racket At A Time, yang berlangsung di Dewan JA, Tanah Jambu.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh.
Inisiatif amal tersebut bertujuan mengumpulkan raket badminton, sama ada terpakai mahupun baharu, untuk disumbangkan kepada pelajar sekolah dan golongan yang memerlukan, selaras dengan usaha memupuk minat bersukan serta menyemai semangat sosial dalam kalangan komuniti badminton.
Majlis pelancaran dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, diikuti bacaan doa pembuka dan ucapan alu-aluan daripada wakil penganjur.
Secara simbolik, Dayang Fauziah telah melancarkan kotak sumbangan, sekali gus menandakan bermulanya kempen derma raket yang akan berlangsung selama sebulan.
Sejumlah lebih 30 batang raket berjaya dikumpulkan semasa acara pelancaran tersebut. Majlis turut mendapat sokongan daripada Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam yang tampil sebagai penyumbang utama dengan menyumbangkan 10 raket, sekali gus memeriahkan lagi kempen dan menunjukkan komitmen persatuan dalam menyokong aktiviti sosial serta pembangunan sukan.
Ini merupakan kali pertama Super Smasher menganjurkan program derma raket dan pihak penganjur berharap inisiatif ini akan menerima sokongan meluas daripada orang ramai bagi memastikan matlamat amal tercapai.
Super Smasher turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk syarikat korporat dan sukarelawan, dalam menjayakan majlis pelancaran tersebut.
Inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat berterusan kepada komuniti, meningkatkan minat terhadap sukan badminton dalam kalangan masyarakat, serta menanamkan nilai murni seperti semangat bekerjasama dan saling membantu.


