Orang-orang yang berumur 80an yang boleh mengingati peristiwa harian dan pengalaman hidup mereka dengan baik seperti seseorang yang berumur 20 hingga 30 tahun lebih muda dikenali sebagai superager, cenderung mempunyai kelajuan pergerakan yang lebih tinggi berbanding orang dewasa yang biasa.
Mereka juga mempunyai kadar kebimbangan dan kemurungan yang lebih rendah, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Healthy Longevity.
Fungsi ingatan kebanyakan orang secara beransur-ansur merosot apabila bertambahnya usia mereka; bagaimanapun, superager nampaknya dapat mengelakkan kemerosotan yang berkaitan dengan usia itu.
Pengarang pertama jurnal itu, Marta Garo-Pascual dari Pusat Alzheimer Yayasan Ratu Sofia, Madrid, Sepanyol, berkata: “Kami kini semakin hampir untuk menyelesaikan salah satu soalan terbesar yang belum terjawab tentang superager: sama ada mereka benar-benar mempunyai ketahanan terhadap kemerosotan ingatan yang berkaitan dengan usia atau mereka mempunyai mekanisme penyesuaian yang membantu mereka mengatasi kemerosotan itu lebih baik berbanding rakan sebaya mereka.
“Penemuan kami menunjukkan superager tahan terhadap proses-proses ini, walaupun sebab yang tepat untuk itu masih tidak jelas. Dengan melihat lebih jauh ke dalam hubungan antara penuaan super dan kelajuan pergerakan, kita mungkin dapat memperoleh pandangan penting tentang mekanisme di sebalik pemeliharaan fungsi ingatan jauh ke usia tua.”
Walaupun kajian terdahulu telah menemui perbezaan dalam struktur otak dan faktor gaya hidup tertentu seperti hubungan sosial yang lebih kuat di kalangan superager berbanding dengan orang dewasa yang biasa, kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel yang kecil dan tidak menjejaki perubahan dari semasa ke semasa.
Akibatnya, pemahaman mendalam tentang faktor demografi, gaya hidup atau klinikal yang membantu mengekalkan fungsi ingatan sehingga usia tua masih kurang.
Untuk membantu menangani jurang pengetahuan itu, penulis kajian menjalankan salah satu analisis terbesar superager setakat ini.
Superager dan orang tua biasa dipantau dalam projek berterusan yang direka bagi membantu mengenal pasti petunjuk awal penyakit Alzheimer.
Kohort Projek Vallecas di Madrid terdiri daripada mereka yang berumur 69 hingga 86 tahun tanpa gangguan saraf atau psikiatri yang teruk.
Daripada 1,213 peserta kohort, yang direkrut antara 2011 dan 2014, seramai 64 superager dan 55 orang tua biasa, yang berjaya melakukan beberapa tugas kognitif tetapi tidak menunjukkan keupayaan ingatan superager, telah dikenal pasti dan dimasukkan dalam kajian baharu.
Superager dan orang tua biasa dikenal pasti berdasarkan prestasi mereka dalam Ujian Ingatan Bebas dan Bersifat Pemilihan (FCSRT), yang digunakan untuk menilai fungsi ingatan orang.
Superager sekurang-kurangnya berprestasi sebaik individu yang berusia sekitar 30 tahun lebih muda dengan tahap pendidikan yang sama. Orang tua biasa pula prestasinya dalam julat normal untuk usia dan pendidikan mereka.
Semua superager biasa dan orang tua biasa berusia 79.5 tahun atau lebih tua.
Kebanyakan superager adalah wanita (38/64, 59 peratus), seperti kebanyakan orang tua biasa (35/55, 64 peratus).
Para peserta menjalani sehingga enam rawatan susulan tahunan, di mana faktor demografi dan gaya hidup direkodkan.
Peserta juga menjalani imbasan MRI untuk mengukur volum korteks otak besar dan menyelesaikan pelbagai ujian klinikal.
Sampel darah telah diambil untuk mengesan penanda aras bio bagi penyakit neurodegeneratif (kemerosotan neuro) dan faktor risiko genetik utama bagi penyakit Alzheimer.
Model komputer pembelajaran mesin termasuk 89 peramal demografi, gaya hidup dan klinikal telah digunakan untuk mengenal pasti faktor yang berkaitan dengan superager.
Selaras dengan kajian terdahulu, imbasan MRI menunjukkan superager mempunyai lebih banyak volum korteks otak besar, tisu penting untuk fungsi otak normal dalam kawasan otak utama yang terlibat dalam ingatan dan juga dalam bahagian otak yang terlibat dalam pergerakan.
Tahap keseluruhan volum korteks otak besar superager di kawasan utama juga mengalami kemerosotan dengan lebih perlahan dalam tempoh lima tahun berbanding orang tua biasa.
Menggunakan model mesin komputer pembelajaran, penulis kajian mendapati kelajuan pergerakan yang lebih pantas dan kesihatan mental yang lebih baik adalah faktor yang paling sering dikaitkan dengan superager.
Superager menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam Ujian Timed Up and Go yang mengukur mobiliti seseorang dan ujian mengetik jari yang mengukur fungsi motor halus, menunjukkan mereka mempunyai mobiliti, ketangkasan dan keseimbangan yang lebih baik berbanding orang tua biasa.
Pemantauan itu dibuat walaupun tiada perbezaan dalam tahap senaman yang dilaporkan sendiri antara superager dan orang tua biasa.
Tiada perbezaan juga ditemui di antara mereka berdasarkan kehadiran faktor risiko genetik utama untuk penyakit Alzheimer, yang dipanggil APOE e4.
Penulis kajian bagaimanapun mengakui beberapa kelemahan dalam kajian mereka.
Seperti dalam mana-mana kajian pemantauan, adalah tidak mungkin untuk mengatakan sama ada faktor yang dilaporkan mempunyai kesan langsung ke atas penuaan super.
Walaupun menggunakan 89 pembolehubah, model mesin pembelajaran hanya dapat membezakan superager daripada orang tua biasa sekitar 66 peratus masa, menunjukkan bahawa faktor tambahan mungkin termasuk faktor genetik berkaitan dengan penuaan super.
Penyelidikan lanjut mengenai pertindihan antara hubungan genetik dengan penuaan super dan gen yang dikaitkan dengan pergerakan otot pantas di kalangan warga tua dapat membantu menyempurnakan penemuan. – ANN/The Star