DUBAI – Mereka berkumpul, bersembang, berkongsi kisah dan ketawa bersama. Ada dalam kalangan mereka yang merupakan jurutera, usahawan dan suri rumah. Namun semua wanita ini berkongsi satu minat yang sama: cinta mereka terhadap kereta mewah berprestasi tinggi.
Baru-baru ini, puluhan wanita berhimpun di Dubai untuk menyertai satu perhimpunan kereta yang menjelajah ke seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Acara ini dianjurkan oleh Arabian Gazelles, kelab pemilik supercar wanita pertama di rantau itu, yang menyaksikan penyertaan seramai 30 orang wanita dari dalam dan luar negara dalam jelajah selama empat hari merentasi negara tersebut.
Arabian Gazelles ditubuhkan lapan tahun lalu oleh Hanan Mazouzi Sobati sebagai usaha untuk membuka ruang kepada wanita dalam dunia automotif yang sebelum ini banyak didominasi oleh lelaki.
“Kelab ini lahir daripada rasa kecewa… kerana wanita sering diketepikan dalam dunia automotif. Saya rasa sudah tiba masanya seseorang melakukan sesuatu untuk membawa lebih ramai wanita ke dalam bidang ini dan mencetuskan perubahan,” jelas Mazouzi Sobati sambil memandu Lamborghininya menuju ke Fujairah.






Minatnya terhadap kereta bermula sejak kecil lagi. Ketika kanak-kanak seusianya menonton kartun, dia pula lebih gemar menonton perlumbaan Formula 1. Kini, minat terhadap kereta mewah itu menjadi pemangkin kepada misi yang lebih besar – mengubah tanggapan masyarakat terhadap wanita dalam dunia automotif.
Menurutnya, kebanyakan acara automotif pada mulanya hanya menjemput peserta lelaki. Ketika dia mula menyertai acara-acara seperti itu, dia sering menjadi satu-satunya wanita yang hadir – malah pada mulanya, dia hadir menggantikan suaminya yang menerima jemputan walaupun suaminya bukan peminat supercar.
“Pada mulanya, jenama-jenama besar enggan menyokong kelab supercar khusus wanita. Mereka tidak melihatnya sebagai sesuatu yang serius,” katanya.
Tambahnya, masyarakat perlu berhenti mengaitkan wanita yang memandu supercar dengan lelaki di belakang tabir – sama ada suami, pasangan mahupun teman istimewa.
“Kami mahu orang berhenti berfikir bahawa setiap wanita dalam supercar pastinya ada lelaki di belakangnya,” tegasnya.
Namun, keadaan kini semakin berubah. Persepsi masyarakat semakin terbuka dan kelab Arabian Gazelles semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.
Dalam acara terbaru mereka, para peserta wanita telah dijemput oleh BMW untuk menguji kereta-kereta baharu di litar perlumbaan.
“Kami tidak perlukan kebenaran untuk memandu atau memilih jenis kereta yang kami minati. Kami tidak perlukan kebenaran untuk mempunyai minat ini,” ujarnya penuh semangat.
“Kami tidak menunggu tempat di meja rundingan. Jika tempat itu tiada, kami bina meja sendiri – dan kami semua duduk bersama.” – AP

