Suplemen, gula-gula larangan masih berleluasa

Lazimnya, sekali dalam masa sebulan atau setiap minggu, Kementerian Kesihatan atau kementerian-kementerian yang relevan akan mengeluarkan nasihat mengenai produk atau ubat-ubatan yang mengandungi bahan tercemar dan tidak mendapat pengisytiharan sekali gus menyeru penjual serta pembeli untuk tidak memasarkan atau menggunakannya.

Namun apa yang didapati baru-baru ini, seorang rakan telah pergi ke sebuah gerai jualan sempena perayaan Hari Keputeraan dan mendapati gula-gula White Rabbit yang sudah disahkan mengandungi khinzir dijual secara terang-terangan. Berkemungkinan sebahagian individu yang belum mengetahuinya boleh sahaja membeli gula-gula tersebut dan memakan sesuatu yang haram. Manakala dalam talian atau di media-media sosial, jualan produk yang baharu sahaja disahkan dicemari bahan terlarang iaitu Choco Fit dan Bizzibody masih lagi dipromosikan oleh golongan tertentu bagi meraih keuntungan sedangkan produk tersebut sudah pun dilarang.

Oleh yang demikian, penguatkuasaan pihak tertentu perlu diketatkan lagi bagi memastikan produk-produk yang dilarang oleh kementerian tidak lagi dijual atau dipamerkan mahupun dipromosikan secara umum. – Prihatin